Anda di sini

Astro Shaw bawakan filem hebat dari Astro First ke pawagam

Advertisement
TOWN MALL
TOWN MALL

APABILA pawagam tanah air kembali beroperasi sejak 1 Julai lalu, ia merupakan satu khabar gembira buat peminat filem serta penggiat industri tempatan.

Inilah masanya buat kaki wayang melepaskan rindu dengan menikmati kualiti filem menerusi sinematik yang berbeza di layar perak.

Sebagai tanda sokongan penuh kepada pihak pawagam, Astro Shaw mengambil satu lagi langkah inisiatif dengan membawakan filem-filem hebat ke pawagam.

Usaha ini juga secara tidak langsung diharap dapat membantu industri filem tanah air untuk terus bergerak secara aktif dalam berdepan dengan kemerosotan industri pawagam di Malaysia atas kesan daripada Pandemik COVID-19.  

Menariknya, kali ini Astro Shaw memperkenalkan buat pertama kali dalam sejarah industri filem tempatan dengan membawakan filem-filem hebat yang pernah ditayangkan di Astro First semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, kini ke pawagam.  

ADA APA DENGAN DOSA
ADA APA DENGAN DOSA

Langkah strategik ini akan dimulakan dengan penayangan filem terkini iaitu ‘Syif Malam Raya’ pada 30 Julai, diikuti dengan ‘Ada Apa Dengan Dosa’ bermula 10 September dan ‘Town Mall’ pada 1 Oktober. Ketiga-tiga filem telah melakar kejayaan tersendiri di Astro First.

Seiring dengan rangka pemasaran yang kreatif, ‘Syif Malam Raya’ berjaya meraih RM3 juta dalam hanya tempoh 10 hari dan itu adalah satu pencapaian luar biasa bagi platform Astro First. Lanjutan daripada kerjasama sebelumnya, pihak penerbit masih meletakkan kepercayaan kepada Astro Shaw untuk menjadi pengedar bagi aktiviti edaran di pawagam pula.

 Asif, Syahmi dan Saiful dalam ‘Syif Malam Raya’.
LUCU: Asif, Syahmi dan Saiful dalam ‘Syif Malam Raya’.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menjelaskan, “Apabila pihak kerajaan membenarkan pawagam kembali beroperasi bermula 1 Julai lalu, sudah tentu ia merupakan satu perkhabaran gembira.

“Sebagai tanda sokongan Astro kepada pawagam, kami bawakan khas tiga buah filem hebat untuk ditayangkan di layar besar.

“Ketiga-tiga filem berbeza genre ini telah mencetus fenomena apabila berjaya mengungguli kutipan tinggi di Carta Astro First.

“Kami yakin, pasti ramai yang turut ingin menikmati keseronokkan rasa seram komedi ‘Syif Malam Raya’, babak menyayat hati anak luar nikah dalam ‘Ada Apa Dengan Dosa’ dan keseraman yang diinspirasi daripada kisah benar, ‘Town Mall’ di layar besar.

“Selaras dengan itu, kami ingin beri peluang buat penonton untuk merasai perspektif dan pengalaman sinematik yang berbeza di panggung wayang.

“Kami mengharapkan inisiatif ini dapat merancakkan kembali industri perfileman tempatan dan sekali gus membantu menjana ekonomi negara.

“Dalam pada itu, kami juga sentiasa membuka ruang dan bersedia untuk bekerjasama dengan lebih ramai penerbit-penerbit di luar sana untuk membawa karya mereka dipersembahkan kepada penonton sasaran.”  

Buat penonton yang ingin merasai perbezaan sinematik di pawagam, jangan lepaskan peluang untuk membeli tiket anda di pawagam berhampiran anda.

Dalam keterujaan untuk menonton di pawagam, Astro Shaw turut mengingatkan penonton agar sentiasa tingkatkan komitmen dalam aspek kawalan kendiri serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan oleh kerajaan.  

Advertisement