Anda di sini

PRIHATIN, PENJANA bantu usahawan PKS, pekerja

Advertisement
TENGKU ZAFRUL
TENGKU ZAFRUL

KUCHING: Lebih 2.55 juta pekerja mendapat manfaat daripada Program Subsidi Upah (PSU) dengan sejumlah RM7.82 bilion diluluskan sehingga 20 Julai.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia merupakan peningkatan daripada RM7.79 bilion pada minggu sebelumnya yang memberi manfaat kepada 2.53 juta pekerja.

Menurutnya, daripada jumlah yang diluluskan tersebut, RM7.39 bilion telah dibayar yang memberi manfaat kepada 2.54 juta pekerja berbanding RM6.82 bilion pada minggu sebelumnya dengan manfaat kepada 2.49 juta pekerja.

Beliau turut memaklumkan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah memuat naik nama-nama majikan yang telah menerima bantuan PSU.

“Tindakan ini diambil berikutan aduan diterima daripada orang ramai bahawa terdapat segelintir majikan yang mengambil subsidi tetapi masih memberhentikan atau memotong gaji pekerja mereka.

“Sehubung-an itu, untuk makluman, orang ramai juga boleh melaporkan sebarang aduan kepada pihak PERKESO di e-mel [email protected] atau talian 1300 228 000 untuk tindakan lanjut,” kata Tengku Zafrul dalam Laporan Laksana Ke-14, Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Sementara itu beliau berkata, bagi Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan Bank Negara Malaysia, permohonan yang diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetujuterima oleh PKS berjumlah RM9.23 bilion, meningkat daripada RM9.1 bilion minggu sebelumnya.

Katanya ia akan memberi manfaat kepada 20,815 PKS berbanding 20,545 minggu sebelumnya.

Tengku Zafrul berkata, selain itu jumlah keseluruhan bagi Geran Khas Prihatin (GKP) yang diluluskan adalah bernilai lebih kurang RM1.64 bilion dan ini telah memberi manfaat kepada 545,000 perniagaan kecil dan sederhana (PKS) mikro.

“Daripada jumlah ini sebanyak RM1.47 bilion telah dibayar dan ini mencerminkan kadar pencapaian sebanyak 90 peratus. Bagi penerima yang berstatus gagal kredit dan telah mengemas kini nombor akaun bank, bayaran secara berperingkat telah dibuat mulai 2 Julai 2020,” jelas beliau.

Secara keseluruhan katanya, kerajaan telah meng-agihkan sebanyak RM11.14 bilion Bantuan Prihatin Nasional (BPN) setakat 20 Julai.

Beliau berkata, jumlah ini meningkat daripada RM11.06 bilion minggu lalu, termasuk rayuan BPN melibatkan 10.416 juta penerima.

Mengulas lanjut di bawah PENJANA khasnya menerusi Matlamat 2: Melonjakkan Perniagaan pula, beliau berkata menerusi Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS), sebanyak 259 permohonan telah diluluskan dengan jumlah RM1.92 juta, setakat 20 Julai 2020.

Beliau berkata,  inisiatif baharu yang dilancarkan bulan ini iaitu Skim SME-Go bagi Membantu Aliran Tunai PKS, merupakan kemudahan pembiayaan yang disediakan SME Bank kepada kontraktor yang dianugerahkan projek-projek kecil kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020 dan pakej rangsangan PRIHATIN.

“Skim ini dijangka memberi manfaat kepada 16,000 kontraktor kelas G2 dan G3.

“Tujuan pembiayaan Skim SME-Go ini adalah untuk keperluan modal kerja bagi kontrak tersebut dan margin pembiayaan adalah sehingga 100 peratus daripada kos kontrak,” kata Tengku Zaf-rul.

PKS yang berminat membuat permohonan boleh melayari laman sesawang untuk maklumat lanjut.

Setakat 20 Julai 2020, permohonan daripada 20 syarikat berjumlah RM46.14 juta diterima bagi inisiatif pinjaman daripada ‘SME Technology Transformation Fund’ yang berjumlah RM500 juta.

Dana berkenaan dilancarkan bulan ini bagi membantu PKS dalam penggunaan di-gital atau automasi.

 
 

Inisiatif bantu PKS ringankan beban Buruuj Engineering

 Wan Abdul Aziz (tiga kiri) bersama pekerja syarikatnya dan beliau melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memperkenalkan inisiatif seperti PSU sekali gus meringankan beban syarikat.
TERUS BERTAHAN: Wan Abdul Aziz (tiga kiri) bersama pekerja syarikatnya dan beliau melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memperkenalkan inisiatif seperti PSU sekali gus meringankan beban syarikat.

PROGRAM Subsidi Upah (PSU) adalah penyelamat kepada sektor perusahaan khasnya selepas terjejas ekoran tidak berope-rasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.

Ia termasuk syarikat yang mengendalikan kerja-kerja mekanikal, servis serta pembekalan bahan mekanikal seperti Buruuj Engineering Sdn Bhd yang amat bergantung kepada tenaga kerja.

Pengarah Urusannya Wan Abdul Aziz Wan Ahmad berkata, semasa PKP mereka kerugian dari segi jualan dan pendapatan kerana kakitangan tidak dapat turun bekerja selain daripada kerja-kerja yang tertangguh semasa PKP.

“Dari situ kami kerugian dari aspek jualan dan hanya mampu memperoleh pendapatan sekitar hanya RM150,000.

“Kemudian kami memohon bantuan PRIHATIN selepas kerajaan mengumumkan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui PSU dilaksanakan PERKESO dan ia telah diluluskan.

“Kami sangat menghargai bantuan kerajaan ini kerana dengan memperkenalkan skim dan subsidi sebegini ia membantu PKS dan membantu kami membayar gaji kakitangan kami,” katanya.

Beliau berkata, syarikat yang ditubuhkan sejak 2015 itu kini mempunyai 38 kakitangan dan mereka yang berpendapatan bawah RM4,000 akan menerima PSU.

PSU bantu pulihkan perniagaan, kekalkan pekerja syarikat

 Aidah bersama staf pusat kecantikan miliknya bersyukur kerana menerusi PSU ia meringankan bebanan dari segi pembayaran upah kepada pekerja.
SYUKUR: Aidah bersama staf pusat kecantikan miliknya bersyukur kerana menerusi PSU ia meringankan bebanan dari segi pembayaran upah kepada pekerja.

BAGI pemilik pusat kecantikan iaitu Ladies Beauty SPA, Aidah Libang, bantuan seperti Program Subsidi Upah (PSU) yang diper-kenalkan kerajaan amat membantunya dalam memulihkan perniagaan.

Katanya, sepanjang pelaksa-naan PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) antara yang dihadapinya adalah jualan harian yang jatuh merundum selain jualan produk agak terhad kerana pergerakan terbatas untuk penghantaran barangan ke luar daerah.

“Maka itu kami menyambut baik pengenalan PSU oleh kerajaan ini di mana syarikat tidak dibebani dengan tanggungan gaji serta pada masa yang sama pekerja tidak kehilangan upah sepanjang PKP, PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Dengan adanya bantuan PSU ini juga, ia banyak membantu usahawan meneruskan perniagaan dengan masih mengekalkan jumlah pekerja,” katanya.

Aidah berkata, beliau me-nubuhkan syarikat Ladies Beauty Spa pada 9 Ogos 2010 dan kini mempunyai seramai dua pekerja.

Kelegaan pada waktu mencabar bagi PKS

 Herinawati (dua kiri) tetap mengutamakan kakitangan syarikatnya dengan memohon inisiatif membantu membayar upah pekerja.
UTAMAKAN KAKITANGAN: Herinawati (dua kiri) tetap mengutamakan kakitangan syarikatnya dengan memohon inisiatif membantu membayar upah pekerja.

BAGI perkhidmatan korporat dan khidmat nasihat perniagaan, Applegate Corporate Services Sdn Bhd pelaksanaan PKP dan PKPB amat menjejaskan perniagaan mereka khasnya yang menawarkan pelbagai perkhidmatan itu.

Pengarahnya Herinawati Drahman berkata, malahan sepanjang tempoh berkenaan klien mereka juga mengalami keadaan yang sama dan semakin meruncing dan semua pihak sangat tertekan dengan situasi semasa penularan COVID-19.

“Namun kami berterima kasih kepada kerajaan yang memberi tempoh moratorium bagi me-ringankan bebanan rakyat, selain itu antara bentuk bantuan yang diterima adalah Program Subsidi Upah daripada PERKESO dan Geran Khas Prihatin.

“Dengan adanya bantuan sebegini daripada kerajaan ia sedikit sebanyak dapat membantu terutama dari segi gaji staf dan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka,” katanya.

Menurut Herinawati, syarikat yang ditubuhkan pada Ogos 2008 itu kini mempunyai lima pekerja dan beliau bersyukur meman-dangkan perkhidmatan yang ditawarkan mereka masih lagi relevan dalam dunia perniagaan yang serba mencabar itu.

Bantuan kepada PKS amat dihargai

 Sahrulizam bersyu-kur kerana insiatif diperkenalkan kerajaan mampu membantu dan meringankan beban syarikat miliknya, Keris Sakti Sdn Bhd.
KEMUDAHAN: Sahrulizam bersyu-kur kerana insiatif diperkenalkan kerajaan mampu membantu dan meringankan beban syarikat miliknya, Keris Sakti Sdn Bhd.

BAGI seorang lagi penerima manfaat bantuan, Sahrulizam Ahmad, beliau amat bersyukur kerana diberi kemudahan dan bantuan oleh kerajaan terutama seperti syarikatnya iaitu Keris Sakti Sdn Bhd, yang mengendalikan percetakan dan sulaman baju serta aksesori.

Jelasnya, ia amat membantu syarikat PKS itu sendiri dan pada masa yang sama pekerja yang juga merupakan aset syarikat diutamakan kerana mereka juga penting.

“Syarikat mendapat subsidi daripada kerajaan dan dengan bantuan tersebut ia dapat meringankan beban syarikat dan pekerja masih dapat bekerja seperti biasa.

“Syarikat ini telah ditubuhkan selama lima tahun dan mempunyai 10 pekerja,” katanya.

Terima kasih PENJANA

CHEN
CHEN

SALAH seorang penerima bantuan, Chen Kee Ting yang juga pengasas kedai 15 Minutes Bake Sdn Bhd di Kota Kinabalu amat berterima kasih kepada kerajaan dengan bantuan yang disediakan menerusi PENJANA.

Beliau berkata, menerusi bantuan berjumlah RM18,000 itu, ia dapat membantu meri-ngankan kos perbelanjaan yang ditanggung untuk meneruskan perniagaannya.

Menurutnya, sejak memulakan perniagaan pelbagai jenis produk pastri pada 2014, inilah pertama kali pihaknya menerima bantuan sedemikian.

“Dengan adanya bantuan di bawah program PENJANA ini, ia membantu meringankan perbelanjaan dari segi kos operasi termasuk bayaran sewa premis.

“Selain itu, seramai 15 pekerja kami dapat meneruskan kerja mereka di kedai ini tanpa perlu diberhentikan,” katanya.

Chen berkata, dalam keadaan sukar sekarang, bantuan PENJANA sememangnya banyak memberi manfaat memandangkan syarikat perlu menanggung banyak kos untuk meneruskan perniagaan.

 Pelbagai jenis produk menjadi pilihan pelanggan di premis 15 Minutes Bake.
PELANGGAN: Pelbagai jenis produk menjadi pilihan pelanggan di premis 15 Minutes Bake.
  • oleh
  • Advertisement