Anda di sini

Lisa Surihani & Farid Kamil dalam ‘Pelindung Seorang Puteri’

Advertisement
 

DRAMA bersiri ‘Pelindung Seorang Puteri’ merupakan sebuah lagi naskah adaptasi novel yang mengangkat genre romantik thriller terbitan pihak Astro Ria dengan kerjasama syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd. arahan selebriti versatil, Yusry Abdul Halim dan Sofia J Rhyland selaku penulis skrip.

‘Pelindung Seorang Puteri’ yang ditayangkan sebanyak 16 episod dengan setiap episod berdurasi selama 60 minit bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 28 Julai 2020 menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria Emarina Kamal dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Astro, ‘Pelindung Seorang Puteri’ bakal menyuntik elemen romantik dan kejutan thriller dalam naratif penceritaan sebagai kelainan kepada para penonton yang pastinya tertunggu-tunggu buah tangan terbaharu menghiasi slot Megadrama di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD setelah lebih empat bulan ‘berehat’.

“Kesemua barisan pelakon yang terlibat dalam drama ini sama ada watak besar atau kecil juga telah memainkan peranan yang cukup bermakna dengan lakonan mantap yang mampu mengagumi khalayak penonton melalui pembawaan watak yang cukup berkesan.

“Tambah menarik lagi, single duet terbaharu penyanyi terkenal Hael Husaini dan Cakra Khan yang berpadu suara buat julung kalinya menerusi lagu ‘Terlanjur Cinta’ turut diangkat menjadi lagu tema drama bersiri ini.

“Kami berharap gabungan kesemua elemen-elemen ini mampu meletakkan ‘Pelindung Seorang Puteri’ sebagai sebuah drama yang paling ditunggu sekaligus mencetuskan fenomena yang tersendiri dikalangan peminat drama Melayu,” katanya.

‘Pelindung Seorang Puteri’ mengisahkan Rose lakonan Lisa Surihani yang membawa diri jauh daripada keluarga setelah difitnah kerana sering diekori oleh pengendap misteri walaupun dia sendiri sebenarnya tidak pasti akan identiti pengendap misteri itu.

Adakah Firdaus (lakonan Zain Hamid), bekas kekasihnya yang masih menggilainya, Saiful (lakonan Farid Kamil), rakan sepermainan yang menyukainya sejak kecil atau Hazril (lakonan Sharnaaz Ahmad), kawan baik abang kandung Rose yang dalam diam meminatinya dari jauh.

Siapakah yang akan menjadi pelindung Rose daripada terus diganggu oleh pengendap misteri tersebut? Untuk mengetahui apakah kesudahan drama menarik ini jangan lupa untuk menontonnya sendiri.

Istimewa buat para pelanggan Pakej NJOI, episod pertama ‘Pelindung Seorang Puteri’ akan turut disiarkan secara serentak di Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125).

Advertisement