Anda di sini

AirAsia yakin dengan trajektori pemulihan 

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: Dalam perjalanan domestik dan industri pelancongan mula meningkat semula, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, AirAsia mencatatkan tanda-tanda pemulihan yang baik selepas terjejas berikutan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com Karen Chan berkata walaupun perjalanan mungkin sukar, syarikat penerbangan itu akan meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelanggan selain menyusun semula keutamaan perniagaannya daripada perjalanan kepada perniagaan yang berkaitan dengan penggunaan tempatan.

Sejak penularan pandemik itu, AirAsia telah melancarkan perniagaan seperti Ourshop, pasaran e-dagang; Ourfarm, platform e-dagang untuk membantu menghubungkan petani secara langsung dengan perniagaan; dan Ourfood, penyelesaian yang lancar dan berpatutan untuk pelanggan dan pemilik restoran.

“Berdasarkan realiti baharu yang kita hadapi, keutamaan AirAsia.com ialah mengekalkan trajektori pertumbuhan dalam persekitaran ekonomi yang lembap.

“Perjalanan domestik akan menjadi pemacu utama kepada jualan sehingga sempadan dibuka semula dan sekatan kuarantin dilonggarkan. Ini juga merupakan peluang yang baik kepada AirAsia.com berikutan syarikat penerbangan memegang 73 peratus daripada bahagian pasaran Malaysia,” katanya kepada Bernama.

AirAsia telah bertahan selama 18 tahun dalam industri yang amat kompetitif dan menjadi peneraju dalam segmen syarikat penerbangan tambang rendah dengan menawarkan harga terbaik, jaringan ASEAN yang terbaik dan pengalaman pelanggan yang juga terbaik, katanya.

Chan berkata selepas tidak beroperasi selama hampir dua setengah bulan, dengan industri memasuki kitaran penggabungan, AirAsia akan meneruskan cadangan nilai terasnya – menawarkan nilai supaya pelanggan dapat menikmati perkhidmatan perjalanan dan produk gaya hidup pada harga yang tiada tandingan.

 “Susulan AirAsia.com menjadi platform perjalanan dan gaya hidup paling pesat berkembang di ASEAN, kami menjangka pendapatan syarikat penerbangan kami akan stabil secara berperingkat berikutan pendapatan bukan syarikat penerbangan menjadi pemacu pertumbuhan yang utama dan keutamaan perniagaan kami. 

“Oleh itu, kami tidak lagi bersaing hanya sebagai syarikat penerbangan yang membawa pelancong di seluruh ASEAN -- kami akan menjadi ekosistem produk dan perkhidmatan yang terbaik, membolehkan pelancong ASEAN menikmatinya!,” katanya.

FAKTOR MUATAN LEBIH TINGGI 

Chan berkata penyelidikan pelanggan AirAsia.com mendapati hampir 45 peratus daripada pelancong mahu melakukan perjalanan dengan segera dan pencarian penerbangan di laman webnya meningkat lebih 150 peratus. 

Beliau berkata promosi perjalanan domestik syarikat telah mendapat sambutan yang baik, menjual lebih 250,000 tempat duduk pada Jun, dan ia akan terus meningkatkan kapasiti. 

“Pada akhir Mei hingga awal Jun, kami hanya mencatatkan peratusan satu angka…bulan lepas, kami mula meningkat kepada 20-25 peratus, dan kini pada Julai dan akan datang, kami menjangka hampir 40-50 peratus.

“Dengan sekatan ke atas aktiviti yang telah ditarik balik, kami berharap untuk mencapai faktor muatan antara 70 peratus dan 80 peratus pada suku ketiga,” katanya.

AirAsia turut memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu kerajaan merangsang dan memulihkan industri pelancongan domestik seperti Pas Tanpa Had Cuti-Cuti Malaysia, menawarkan kepada penumpang untuk menebus penerbangan tanpa had dalam rangkaian domestik syarikat penerbangan di 16 destinasi di seluruh negara.

“Pertama di Asia, pelancaran kami di Malaysia dan Thailand berjaya, dan mencerminkan permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna untuk melakukan perjalanan lagi. 

“Kami telah menjual lebih 200,000 pas dan telah menerima banyak permintaan untuk produk itu diperkenalkan dalam pasaran lain,” kata Chan, sambil menambah AirAsia.com berharap pelancaran dalam pasaran lain seperti Indonesia dan Filipina apabila sekatan penerbangan telah berkurangan.

Produk inovatif AirAsia yang lain ialah SNAP, platform tempahan kombo penerbangan+hotel yang baharu menawarkan kepada pelanggan tawaran yang dijamin harga terbaik dan lancar dengan penjimatan yang lebih besar.

MEMBENTUK KERJASAMA BAHARU 

Chan berkata penentu sebenar untuk industri penerbangan terletak pada pembukaan semula sempadan yang selamat dan berkesan.

Jika pemulihan yang positif dalam perjalanan domestik menjadi petunjuk, perjalanan antarabangsa akan mengikut trajektori yang sama apabila sekatan perjalanan dan keperluan kuarantin ditarik balik.

Berdasarkan sifat ekonomi ASEAN yang saling berkaitan dan pelancongan yang mewakili 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari lima negara ASEAN yang terbesar, AirAsia berharap kepada pembukaan semula sempadan, katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa AirAsia kini di peringkat akhir perbincangan dengan syarikat penerbangan antarabangsa utama untuk menghubungkan rangkaian Syarikat Penerbangan Eropah dan Timur Tengah (MEA) mereka secara langsung dengan rangkaian ASEAN AirAsia.

“ASEAN adalah tempat tinggal kita, dan perjalanan antarabangsa akan membantu membuka sinergi sepenuhnya kepada ekosistem kita.

“Kerjasama strategik ini akan melengkapi kerjasama sedia ada kami dengan Kiwi.com, yang menyediakan enjin pengoptimuman ‘interlining’ dan hubungan maya untuk menawarkan perkhidmatan yang dijamin harga terbaik dan kedai sehenti kepada pelanggan kami,” katanya.

PELANGGAN SEBAGAI PIHAK BERKEPENTINGAN UTAMA 

Menguruskan gangguan penerbangan berkaitan COVID merupakan masalah yang perlu ditangani oleh syarikat penerbangan di seluruh dunia.

Bagi AirAsia.com, Chan berkata antara nilai terasnya ialah berteraskan kepada penumpang – menjaga pelanggan adalah keutamaan syarikat penerbangan dan beberapa langkah telah diambil termasuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan pelanggannya.

“Semasa menghadapi gangguan, kami mengendalikan 10 kali ganda daripada jumlah pertanyaan pelanggan kami yang biasa. Ia hampir setengah juta sehari. 

“Kami segera meningkatkan keupayaan kami melalui automasi (AVA chat bot) dan 1,800 All-Stars daripada fungsi lain dalam kumpulan yang menawarkan diri untuk membantu,” katanya.

Langkah lain ialah fleksibiliti dalam menukar pelan perjalanan iaitu syarikat penerbangan menawarkan ‘credit shell’, penjadualan semula secara percuma dan bayaran balik mandatori berdasarkan peraturan negara. AirAsia turut menyediakan penerbangan pulang untuk rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Chan berkata inisiatif yuran pertukaran penerbangan AirAsia, yang menawarkan fleksibiliti lebih baik kepada penumpang yang melakukan perjalanan sehingga 31 Dis, 2020 dengan pengecualian yuran untuk pertukaran penerbangan, akan terus ditawarkan walaupun jumlah kes COVID-19 berkurangan secara berperingkat, perjalanan domestik disambung semula dan sempadan antarabangsa yang akan dibuka tidak lama lagi. - Bernama