Anda di sini

Bantuan MEDAC kepada usahawan terima sambutan baik

Advertisement
 
KUALA LUMPUR: Bantuan yang diberikan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) kepada usahawan tempatan yang terjejas akibat COVID-19 dan fasa-fasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), telah menerima sambutan yang positif.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi panggilan yang diterima kementerian itu, menerusi 90 talian panggilan yang disediakan pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut.

Katanya, dari permulaan pandemik COVID-19 sehingga 20 Julai sejumlah 382,255 panggilan telah diterima, dengan sebahagian besar kepada Bank Rakyat (348,955), SME Corp (9,061), MEDAC (8,023), TEKUN (7,994) dan SME Bank (4,069).

“Kementerian akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan nasihat keusahawanan bagi menjawab soalan, memberikan informasi serta bantuan dan sokongan kepada usahawan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Wan Junaidi berkata, pelbagai langkah telah diambil pelbagai agensi di bawah kementerian, termasuklah kemudahan bantuan khas, pakej ransangan ekonomi, penangguhan pembayaran balik pinjaman peribadi anggota koperasi, penanguhan pembayaran balik Dana Modal Pusingan (TMP-JPK) dan bantuan pinjaman kerajaan dan insentif.

Kementerian itu juga telah menubuhkan satu talian khas hotline dengan kerjasama 90 agensi lain di bawah MEDAC yang beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang. Nombor talian itu adalah; 1-300-88-1020, +603-88923439 dan +603-88923429. - BERNAMA

Advertisement