Anda di sini

Natalie Portman ketuai pasukan bola sepak selebriti wanita

Advertisement
NATALIE PORTMAN
NATALIE PORTMAN

SEKUMPULAN selebriti yang diketuai bintang Hollywood Natalie Portman telah menubuhkan sebuah pasukan bola sepak profesional wanita yang bakal tampil buat julung kalinya pada 2022, kata liga bola sepak profesional wanita Selasa lepas.

Nama besar yang terlibat dalam usaha itu termasuk bintang mega tenis Serena Williams, selain bintang-bintang Hollywood seperti Jessica Chastain, Eva Longoria, America Ferrera dan Jennifer Garner.

“Sebuah kumpulan yang ditubuhkan oleh majoriti wanita” yang diketuai Portman “telah mendapat hak eksklusif untuk membawa pasukan bola sepak wanita profesional ke Los Angeles yang akan dilancarkan pada musim panas 2022,” kata Liga Bola Sepak Wanita Kebangsaan (NWSL)..

Nama rasmi pasukan itu belum lagi diumumkan, tetapi “kumpulan itu sudah secara rasmi memanggil diri ‘Angel City’ sebagai penghormatan kepada stadiumnya yang dirancangkan di Los Angeles,” kenyataan itu menyebut.

Ia akan menjadi pasukan ke-11 dalam NWSL. Buat masa sekarang, liga itu mempunyai sembilan buah pasukan, tetapi sebuah lagi pasukan - Louisville FC - dijangka menyertai semula liga tersebut pada 2021.

Kumpulan pelabur pengasas itu turut dianggotai anak perempuan Williams yang masih kecil, Olympia, dan beberapa bekas pemain Pasukan Kebangsaan Wanita Amerika Syarikat (AS) termasuk Mia Hamm, Lauren Cheney Holiday dan Abby Wambach. Usahawan permainan video Julie Uhrman akan menjadi presiden francais.

“Hari ini kita mengambil langkah yang mengujakan dengan mengumumkan kumpulan pemilikan pertama yang dimiliki dan diketuai majoriti wanita,” kata Portman, yang memenangi anugerah Oscar pada 2011 bagi wataknya dalam ‘Black Swan’.

“Sukan merupakan cara yang begitu menggembirakan untuk menyatukan orang ramai, dan ini mempunyai kuasa untuk membuat perubahan yang ketara bagi atlet wanit baik dalam komuniti kita dan dalam lingkungan profesional,” katanya.

Portman, yang aktif dalam kempen seperti pergerakan ‘Time’s Up’ menentang penderaan seksual dalam industri hiburan, berkata francais itu berharap “untuk memberi impak yang besar kepada komuniti kita, dengan komitmen kepada usaha melanjutkan akses kepada sukan bagi orang muda di Los Angeles”.

NWSL, yang mengadakan musim sulungnya pada 2013, merupakan liga sukan profesional pertama di AS yang menyambung semula aktiviti di tengah-tengah pandemik koronavirus baharu.

Kejohanan Piala Cabaran dalam liga itu sudah diadakan sejak 27 Jun lalu, di mana pasukan-pasukan bermain di dua buah stadium dalam negeri Utah tanpa penonton dan tanpa beberapa bintangnya yang terbesar, termasuk Megan Rapinoe.

Perlawanan terakhir dalam kejohanan itu dijadualkan Ahad ini.

AS merupakan kuasa besar dalam sukan bola sepak wanita dan juara dunia sekarang. — AFP

Advertisement