Anda di sini

Perkhidmatan PU201 milik JKNS berlanggar dengan pacuan empat roda

Advertisement
 Keadaan kereta pacuan empat roda yang berlanggar dengan perkhidmatan PU201 milik JKNS di Sembulan.
LANGGAR: Keadaan kereta pacuan empat roda yang berlanggar dengan perkhidmatan PU201 milik JKNS di Sembulan.

KOTA KINABALU: Satu kemalangan membabitkan pelanggaran formasi perkhimatan PU201 yang terdiri daripada formasi sebuah Lokomotif dan tiga unit treler penumpang dengan sebuah pacuan empat roda berlaku di Lintasan Rata Awam (LRA) Kilometer 4.3 Sembulan di sini.

Pengarah Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) Leonard Poyong berkata, semasa kejadian perkhidmatan terbabit dalam perjalanan menuju destinasi akhir iaitu Stesen Sembulan Kota Kinabalu kira-kira jam 7.13 pagi.

"Berdasarkan laporan pemandu Lokomotif Gad dan penolong pemandu Lokomotif bertugas, kejadian berlaku apabila pacuan empat roda itu secara tiba-tiba memasuki dan cuba melintasi LRA semasa formasi perkhidmatan ini sedang menghampiri LRA terbabit.

"Disebabkan jarak kedua-dua kenderaan yang terlalu dekat iaitu kurang daripada 2 meter, pemandu Lokomotif tidak dapat menghentikan Lokomotif sebelum pelanggaran berlaku," katanya.

Menurutnya, semasa kejadian, siren dan lampu isyarat berfungsi dengan baik manakala hon dan lampu utama pada Lokomotif turut dipasang oleh pemandu Lokomotif bertugas bagaimanapun palang tidak dapat diturunkan berikutan sedang dalam penyelenggaraan.

Katanya, kesemua langkah serta isyarat sepatutnya dapat dilihat oleh pengguna jalan lain dan dipatuhi bagi mengelakkan perkara seumpama berlaku di setiap LRA.

"Bertindak dengan kejadian ini, JKNS mengadakan sesi mesyuarat khas bertujuan mengatasi serta mengelak perkara yang sama daripada berulang.

"Kita juga mengambil tindakan susulan termasuklah melaksanakan sistem pemeriksaan dan penyenggaraan LRA yang lebih sistematik, menambah baik beberapa prosedur operasi standard (SOP) berkenaan dengan pengendalian LRA, penggunaan jenis lampu isyarat yang boleh memberi peringatan kepada pemandu kenderaan, dan beberapa langkah lain," katanya.

Tambahnya, laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian ini.

  • oleh
  • Advertisement