Anda di sini

KPLB Sabah peruntuk RM2 juta untuk usahawan desa

Advertisement
 Ewon melawat pameran produk yang dihasilkan para peserta kursus.
LAWAT PAMERAN: Ewon melawat pameran produk yang dihasilkan para peserta kursus.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memperuntukkan RM2 juta untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan desa dan peningkatan ekonomi masyarakat luar bandar, tahun ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu RM1 juta diperuntukkan untuk Pembangunan Usahawan Desa (PUD) dan RM1 juta lagi untuk Satu Daerah Satu Produk (SDSP).

"Setakat ini, KPLB Sabah berjaya melahirkan 61 usahawan dari seluruh Sabah dalam pelbagai bidang termasuk kraf tangan, pemprosesan makanan, kesihatan, kecantikan dan penternakan lebah madu.

"Daripada jumlah itu, ramai diantara mereka berjaya menghasilkan produk sendiri seperti minyak kelapa dara, kosmetik dan produk berasaskan makanan pelbagai jenis.

"Saya juga difahamkan bahawa ada di antara produk mereka berjaya menembusi pasaran antarabangsa di Sepanyol, Brunei dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Kursus Jahitan Pakaian Tradisi (Moden), Kursus Pemprosesan Makanan (Ragi) dan perasmian Bengkel Jahitan Pakaian Tradisi Kg.Kelawat, di Mensiang kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Timbalan Setiausaha Tetap I Aftar Nurajat dan para pegawai kanan KPLB Sabah.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, kementeriannya juga membina bangunan Pusat Keusahawanan Desa (PKD) dan bangunan bengkel perusahaan yang dilengkapi pelbagai mesin dan peralatan bersesuaian untuk kegunaan para usahawan dibawah bimbingan KPLB Sabah.

"Setakat ini, lima buah bangunan PKD telah dibina di daerah Kudat, Pitas, Matunggong, Beluran dan Keningau," katanya.

Mengenai kursus itu, beliau berkata ia bertujuan meningkatkan ilmu kemahiran dalam pelbagai bidang kepada para peserta seterusnya mewujudkan peluang penjanaan pendapatan.

"Kita akan meneruskan kursus seumpama ini untuk memberi peluang kepada usahawan dan bakal-bakal usahawan desa meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang perniagaan dan pemasaran agar lebih berdaya saing," katanya.

Kursus itu disertai 24 peserta dari pelbagai daerah termasuk Ranau, Tamparuli, Kota Belud dan Matunggong.

Kursus Jahitan Pakaian Tradisi (Moden) diadakan selama 10 hari bermula 13 hingga 22 Julai. Manakala, Kursus Pemprosesan Makanan (Ragi) pula diadakan selama lima hari mulai 18 Julai lalu.

Advertisement