Anda di sini

Tujuh abai penjarakan sosial, tiga merokok di kafe kena denda di Sibu

Advertisement
Pegawai KKM mengeluar saman kepada dua pelanggan yang didapati merokok di sebuah premis di Jalan Foochow. 

SIBU: Tujuh individu yang terdiri daripada dua lelaki dan lima wanita yang mengabaikan penjarakan sosial satu meter didenda kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Collin Babat berkata, kesemua mereka didapati melanggar prosedur pengendalian standard PKPP dalam satu operasi yang dijalankan secara rawak di sekitar bandar ini pada jam 9 malam hingga 10 malam tadi.

Katanya, tiga lagi individu juga disaman kerana merokok di dalam sebuah premis kafe di Jalan Foochow.

Seramai 20 pegawai dan anggota polis dari pasukan Pematuhan SOP PKPP bersama 10 anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dua pegawai Majlis Perbandaran Sibu (MPS) yang terlibat dalam operasi tersebut.

"Dalam operasi itu, seorang pemilik sebuah kafe di Jalan Pahlawan bersama tiga pelanggan telah dikompaun kerana mengabaikan SOP PKPP iaitu penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya lagi, seorang wanita, 32, yang merupakan pemilik kedai juga dikompaun bersama dua pekerja termasuk seorang lelaki berumur 20 dan 18 tahun  di sebuah kedai di Jalan Lau King Howe atas kesalahan sama.

Katanya, tujuh daripada mereka yang dikompaun didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No.7) 2020.

Katanya, pihak KKM juga telah mengeluarkan saman terhadap tiga orang kerana merokok di sebuah kafe di Jalan Foochow.

"Pengusaha kafe dan restoran disarankan untuk mematuhi SOP PKPP iaitu melakukan pemeriksaan suhu badan pelanggan sebelum membenarkan mereka memasuki premis mereka. 

"Mereka juga mesti memastikan pelanggan mendaftarkan butiran mereka sama ada secara manual atau melalui aplikasi dalam talian serta menjaga jarak sosial," katanya.

Collin juga meminta pelanggan agar tidak membawa anak-anak di bawah umur dalam premis seperti kafe dan bistro.

  • oleh
  • Advertisement