Anda di sini

Sarawak bakal miliki stesen tv sendiri akhir tahun ini 

Advertisement
 Abang Johari (duduk, kiri) diikuti Tun Taib dan Toh Puan Ragad serta Juma’ani dan tetamu yang lain, sama-sama mengibarkan bendera Negeri Sarawak, sebagai meraikan sambutan Hari Sarawak. - Gambar ihsan Jabatan Penerangan
RAI: Tun Taib dan Toh Puan Ragad diikuti Abang Johari dan Juma’ani bersama tetamu yang lain bersama-sama mengibarkan bendera Negeri Sarawak sebagai meraikan sambutan Hari Sarawak. - Gambar ihsan Jabatan Penerangan

MIRI: Sarawak bakal memiliki stesen televisyen sendiri, TV Sarawak, menjelang akhir tahun ini selepas Kementerian Multimedia dan Komunikasi meluluskan lesen selama 10 tahun untuk mengendalikan stesen berkenaan di Kuching. 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengumumkan perkara itu di Miri malam ini, sempena meraikan sambutan Hari Sarawak yang bertemakan 'Sarawak Cemerlang', mahu semua pemain industri kreatif tempatan di negeri ini, untuk merebut peluang keemasan itu sebaik TV Sarawak beroperasi sepenuhnya kelak. 

"Insya-Allah dalam waktu terdekat ini, kita akan dapat menyediakan platform untuk peminat industri kreatif kita mempamerkan dan hasil karya mereka.

"Mudah-mudahan, pada akhir tahun ini, jika semuanya berjalan lancar, TV Sarawak akan memulakan percubaan teknikalnya kerana Sarawak telah diberikan lesen 10 tahun oleh Kementerian Multimedia dan Komunikasi untuk mengendalikan stesen TV di Kuching," katanya lagi. 

Beliau memberitahu TV Sarawak dikendalikan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kerajaan Sarawak, iaitu Sarawak Media Group (SMG), yang akan menguruskan stesen televisyen itu kelak dan menyediakan perkhidmatan penyiaran sebagai saluran bebas ke udara, penerbitan dalam talian dan perkhidmatan penyediaan maklumat. 

Sambutan Hari Sarawak turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib; isteri ketua menteri, Datin Patinggi Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang; menteri-menteri kabinet negeri, wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat. 

 (Dari kiri) Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan Hari Sarawak, Abang Johari, Tun dan Toh Puan serta Juma’ani menyaksikan tayangan video sempena sambutan Hari Sarawak di Miri malam tadi. - Gambar ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak

SAKSI: Tun Taib dan Toh Puan bersama Abang Johari dan Juma'ani serta Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan Hari Sarawak, menyaksikan tayangan video sempena sambutan Hari Sarawak di Miri malam tadi. - Gambar ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak

Dalam perkembangan lain, Abang Johari memberitahu Kerajaan Negeri juga telah menetapkan sekurang-kurangnya 45 peratus daripada pengeluaran gas di Sarawak untuk tujuan bekalan bahan mentahnya bagi industri petrokimia, khususnya di Tanjung Kidurong, Bintulu.

Beliau berkata ketika ini, Sarawak sedang membangunkan tapak seluas 1,000 ekar di Tanjung Kidurong untuk industri petrokimia bagi menjadikan Bintulu sebagai hub industri petrokimia Sarawak.

Katanya, kerja-kerja pembinaan loji petrokimia pertama kepunyaan Sarawak dengan kos berjumlah RM3.74 bilion di Bintulu untuk menghasilkan metanol sudah pun bermula. 

"Hub petrokimia Bintulu dijangka akan mampu menjana RM16 billion hingga RM20 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan Sarawak dan mewujudkan 74,000 peluang pekerjaan. 

"Ini adalah bukti kesungguhan Kerajaan Negeri pimpinan GPS untuk memperkasakan industri petrokimia dan menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri pengeluar utama hiliran minyak dan gas,” katanya.

Mengenai sambutan Hari Sarawak ke-57 tahun ini, Abang Johari menyeru rakyat negeri ini untuk bersatu dalam semua usaha dan tujuan bagi mencapai matlamat mewujudkan 'Sarawak Cemerlang', yang menjadi tema sambutan pada tahun ini.

"Hari ini, orang seperti saya dan kebanyakan anda di sini mewarisi warisan nenek moyang kita yang telah membayangkan masa depan yang lebih baik untuk generasi selepas mereka. 

"Kita tidak akan berjaya jika kita tidak bekerja keras. Sekarang, kita berkewajiban untuk membangunkan apa yang telah kita warisi dari nenek moyang kita dan tidak ada cara lain untuk kita melakukannya kecuali kita bersatu dalam tujuan bersama untuk mewujudkan Cemerlang Sarawak," katanya lagi. 

  • oleh
  • Advertisement