Anda di sini

Perjalanan menelusuri sejarah di Tolitoli, mengenang kisah lama

Advertisement
"Tolitoli pernah menjadi pangkalan angkatan Iranun selain Tempasuk dan Reteh untuk mereka melawan serangan kaum imperialis yang datang menjajah nusantara untuk saling berebut-rebut aneka jenis rempah, cengkeh dan pala dan sebagainya"
"Tolitoli pernah menjadi pangkalan angkatan Iranun selain Tempasuk dan Reteh untuk mereka melawan serangan kaum imperialis yang datang menjajah nusantara untuk saling berebut-rebut aneka jenis rempah, cengkeh dan pala dan sebagainya"

BAGI sebilangan orang, Tolitoli mungkin sebuah daerah yang agak terpencil, jauh dan sukar dikunjungi. Tetapi Tolitoli adalah satu tempat yang paling banyak disebut dalam sejarah sekitar kurun ke 18 hingga 19 khususnya berkaitan perlawanan mereka menentang kolonialisme.

Menurut sejarahwan seperti Prof James Warren, Tolitoli pernah menjadi pangkalan angkatan Iranun selain Tempasuk dan Reteh untuk mereka melawan serangan kaum imperialis yang datang menjajah nusantara untuk saling berebut-rebut aneka jenis rempah, cengkeh dan pala dan sebagainya.

Kerana itu, Tolitoli memiliki makna dan erti yang penting dalam gerakan menentang kuasa penjajah seperti Inggeris, Belanda, Portugis dan juga Sepanyol di alam nusantara.

 Kota Tolitoli di Sulawesi Tengah.
SUASANA: Kota Tolitoli di Sulawesi Tengah.

Sebab itu, pandangan kami tertancap di peta untuk mencari dimana letaknya Tolitoli. Sebaik membaca nama Tolitoli, kami memutuskan untuk segera ke Tolitoli untuk melihat sejauh mana  tempat itu signifikan terhadap sejarah penentangan golongan pribumi terhadap kuasa asing.

Kami memulakan perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau dan kemudian menaiki feri ke Nunukan. Dari Nunukan kami menaiki kapal ke Tolitoli, berangkat awal pagi kira-kira jam 8.00 pagi dan tiba kira-kira jam 1.30 pagi keesokan harinya di Tolitoli.

Setibanya di Tolitoli, kami diberikan sambutan yang luar biasa. Pemimpin-pemimpin Tolitoli menyambut kedatangan kami dengan tarian dan pukulan gong dan kulintangan. 

Selepas mengalungkan bunga cengkih kepada Ketua Rombongan Haji Masrin Haji Hassin, kami terus dibawa ke rumah Dinas Bupati untuk jamuan makan malam, dan seterusnya menginap di rumah tamu.

 Jambatan sejauh 300 meter, terpanjang di Tolitoli.
PULAU PANDAN: Jambatan sejauh 300 meter, terpanjang di Tolitoli.

Kami terbangun ketika muazin melaungkan azan dari masjid. Kerana kami tiba sudah larut malam, kami tidak tahu dimana letaknya masjid itu. Terasa dekat tapi kami tidak tahu dimana letaknya.

Tolitoli atau Toli-Toli yang luasnya kira-kira 4,097.77 km persegi  mempunyai penduduk seramai 211,283 orang terdiri dari beberapa suku iaitu  Toli Toli, Dondo, Bugis Makassar dan Boul. Majoriti penduduknya beragama Islam.

Kabupaten Toli-Toli yang terletak di Sulawesi Tengah  memiliki 43 pulau dengan panjang garis pantai 453.8 kilometer terdiri dari 10 wilayah kecamatan terbahagi kepada 94 wilayah pedesaan dan 6 wilayah kelurahan.

 Makam Sultan Syafiudin Bantilan di Pulau Lutungan.
MAKAM: Makam Sultan Syafiudin Bantilan di Pulau Lutungan.

Selepas acara  penganugerahan 'Mabalai Tau Dako Kadakoan Adat Lipu Totolri' atau Sesepuh Pemangku Adat ToliToli, kepada Haji Masrin Haji Hassin oleh Tau Makaasa Dei Kadakoan Limpungan Adat Tao Totolri, Ketua Dewan Adat di Lingkungan Kedatuan Masyarakat Toli-Toli ketika itu, Drs H Ibrahim Saudah, MBA, PhD.

Beliau diangkat sebagai warga kehormat Tolitoli dengan penuh istiadat dalam bahasa Toli Toli, dimuliakan dan digelar Datu.

Dalam istiadat penganugerahan itu, mereka memohon doa pada Tuhan yang Maha Esa mudah-mudahan semua diberi panjang umur, hidup bahagia, banyak rezeki dan memperolehi rahmat kebaikan untuk semua.

Sebenarnya banyak tempat yang menjadi objek pelancongan di Tolitoli. Antara tempat menarik di Toli-Toli ialah Pulau Pandan, Pantai Sabang Tende, Tanjung Matop iaitu tempat bertelur burung maleo yang mempunyai saiz telur yang besar. 

 Pulau Pandan dilihat dari jauh.
MENAKJUBKAN: Pulau Pandan dilihat dari jauh.

Sebiji telur burung maleo kira-kira 10 kalu telur ayam. Pelancong juga boleh berkunjung ke Air Terjun Malangga, Desa Wisata Malangga dimana mereka boleh menyasikan perkebunan koko, hutan tropika, pembuatan gula merah dan sebagainya. Tempat lain adalah seperti Tanjung Sanjangan,Pulau Lingayan, pulau Dolangan, Pulau Salando, Pulau Kapas, dan sebagainya.

Sementara itu, Haji Masrin Haji Hassin, Yang Dipertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) berkata jika menyingkap lembaran sejarah di Zaman Bahari terdapat hubungan sejarah yang intens antara Tempasuk (Kota Belud) dengan ToliToli pada abad ke-18 dan ke 19.

Beliau berharap kunjungan dan penelitian sejarah yang dilakukan mampu mengeratkan hubungan budaya antara Sabah dan Tolitoli  dan mendorong lebih banyak kunjungan dari Malaysia, Filipina dan Brunei khususnya mereka yang memiliki keterikatan sejarah dengan Tolitoli pada masa lampau.

 Perjalanan ke Pulau Lutungan.
TIDAK JAUH: Perjalanan ke Pulau Lutungan.

Antara tempat yang kami kunjungi pada hari pertama kami ke Tolitoli ialah Pulau Pandan yang terletak kira-kira dua jam di selatan Tolitoli. Selain memiliki jambatan terpanjang di Tolitoli iaitu sepanjang lebih 300 meter, pulau Pandan juga terkenal sebagai tempat konservarsi terumbu karang Desa Sambujan.

Kami berterima kasih kepada Pak M Nasir Daeng Marumu, Kepala Dinas Kebudayaan dan Pariwisata dan Pak Amiruddin yang banyak membantu kami.

 Haji Masrin (tengah), Moh Nasir (kiri) dan Abd Madin bergambar mengabadikan kenangan.
DI SABANG: Haji Masrin (tengah), Moh Nasir (kiri) dan Abd Madin bergambar mengabadikan kenangan.

Pulau Pandan atau Desa Sambujan dihuni kira-kira 80 ketua keluarga, kebanyakannya dari suku Bajau. Setibanya ke Desa Sambujan kami bertemu Nek Rahmah Marinyong, berusia lebih 100 tahun.  

Melalui beliau kami sedikit sebanyak bertanya sejarah dan budaya di pulau itu. Saya sengaja menemuramah mereka dalam bahasa Bajau, yang walaupun jauh berbeza, tetapi jika diteliti akar katanya, kita masih boleh memahami.

Saya sempat bertanya mengenai beberapa perkataan dalam bahasa tempatan di pulau itu. Misalnya Mulut dipanggil bua’, Hidung dipanggil uru, kain disebut bida, kaki disebut nai, makan ( nginta,) minum (nginum) lapar (lengantu)malam (hangar), siang (lu), bakar (tono’) Ikan (daya), Air (buih) dan beberapa lagi. 

“Puli na kami” saya meniru bahasa mereka sambil meminta izin pulang. 

Hari kedua kami di Tolitoli, kami  berkunjung ke Makam Raja Tolitoli di Pulau Lutungan. Pulau itu terletak kira-kira 3.5 batu dari Kota Tolitoli dan boleh dihubungi dengan bot selama kira kira 25 minit.

Pulau Lutungan yang indah dan bersejarah itu memiliki pasir yang putih. Perairannya jernih. Namun  tujuan kami adalah untuk menziarahi Makam Sultan Syafiuddin Bantilan, makam raja yang terletak di Tandu Kanau. 

Tandu ertinya tanjung, kanau ertinya enau. Pulau Lutungan adalah pulau yang menjadi perisai tolitoli dari tiupan angin dan gelombang laut. Ia terletak di jalan masuk di  hadapan Kota Tolitoli.

Sultan Syafiuddin Bantilan memerintah antara tahun 1859 hingga 1867. Beliau dikatakan seorang raja  yang memiliki kesaktian.Mengikut kepercayaan penduduk di sana, burung yang terbang pun boleh jatuh kalau ditunjuk oleh beliau. 

Buah kelapa juga boleh jatuh dengan hanya menunjuk buah kelapa. Bahkan jika berkehendakkan air tawar, beliau hanya menggoyangkan kakinya ke air laut. Beliau sangat dikeramatkan oleh masyarakat Tolitoli.

Makam Sultan Syafiuddin itu kini menjadi cagar budaya nasional. Kedudukan penting dalam sejarah. Beliau dikatakan mempunyai hubungan dengan Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei. 

 Haji Masrin dikurniakan gelar Datu oleh Ketua Dewan Adat Tolitoli.
GELAR DATU: Haji Masrin dikurniakan gelar Datu oleh Ketua Dewan Adat Tolitoli.

Di Pulau Lutungan, saya sempat bertanya  mengenai  beberapa perkataan dalam bahasa tolitoli.Sagin  dalam bahasa tolitoli bererti  masak, Lottu (masak), mokulutu (memasak), inang (ibu) amang (ayah), lima (tangan), buuk (rambut), bau (ikan) mangai (mancing), sasik (laut) Ogu sasik (air laut), bungayan (pasir), langasu (awan),udan (hujan), undan (tangga), ayangan (perahu) sampang (celana dalam)  dan banyak lagi.

Selepas kunjungan ke Pulau Lutungan, pada petangnya selepas Jumaat, Kami ke Sabang, satu satu tempat popular dan menjadi syurga penyelam.Jarak karang dari bibir pantai hanya 50 hingga 100 meter, dan  menjadi favourit snorkeling setiap akhir minggu. Kedalaman sekitar pulau pula antara 20 meter hingga 60 meter. Pantai itu memiliki surga bawah air yang memukau.

Di Sabang Mende itu, kami bertemu Pak Darwis Abd Hamid. Beliau yang menceritakan kepada kami mengenai kehadiran orang  Magindanao, antara 40 hingga 60 perahu kke Sabang.

Kami sempat berkunjung ke lokasi perkuburan Iranun yang terletak di tepi pantai tidak jauh dari sana. Beliau memberitahu kuburan Iranun Magindanao itu terbiar sejak dahulu lagi, tanpa pernah dilawati oleh siapa siapa, berbanding dengan kuburan yang jelas pewarisnya, kawasan kuburan itu tak pernah dikunjungi.

Beliau sangat yakin mengenai keberadaan kuburan Iranun itu. Beliau sangat bersemangat membawa kami ke kuburan itu, “kerana kalau bukan kita, siapa lagi yang mahu mengkaji nenek moyang kita yang dulu pejuang itu,” katanya.

Menurut Pak Darwis, kemungkinan orang orang Iranun itu  berpindah ke Santigi,Lingadan dan Pangalasiang, atau mungkin Salumpaga atau Bountounan selepas diserang Belanda, kata Pak Fahri seorang peneliti sejarah tempatan.

Ada catatan menunjukkan bahawa serangan itu berlaku pada 1812 lalu mereka berundur ke Dampal pada 1822 dan mengumpul kekuatan di sana bersama masyarakat tempatan sebelum melakukan serangan balas.

Kunjungan ke Sabang itu adalah program kami yang terakhir di Tolitoli. Ketika kami berkunjung ke sana kira-kira tiga tahun yang lalu, Tolitoli memberikan banyak pengalaman indah dan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Terima kasih Tolitoli.

  • oleh
  • Advertisement