Anda di sini

Pelaksanaan inisiatif PRIHATIN capai 91 peratus setakat 20 Julai, kata Tengku Zafrul 

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: Tahap pencapaian pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) oleh kerajaan setakat 20 Julai, 2020, telah mencatat kadar yang tinggi iaitu 91 peratus, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM14.3 bilion. 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar) ini adalah menerusi pemberian tunai secara “one-off” seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), bantuan kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT), pemandu e-hailing dan teksi, pesara kerajaan, dan lain-lain. 

Bagi inisiatif yang melibatkan perlaksanaan dalam jangka masa antara tiga hingga enam bulan pula seperti diskaun bil elektrik, subsidi upah (asal), moratorium, e-CAP Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan lain-lain, yang melibatkan pembayaran sebanyak RM68 bilion, pelaksanaan adalah pada tahap 54 peratus, berbanding 50 peratus minggu lalu.

“Ini adalah kadar yang memberangsangkan memandangkan kita berada pada peringkat pertengahan pelaksanaan langkah-langkah tersebut,” kata Tengku Zafrul dalam Laporan Laksana Ke-14, PRIHATIN & Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). 

Sementara itu, di bawah PENJANA menerusi Matlamat 1: Memperkasakan Rakyat, beliau berkata sebanyak 7,695 tuntutan berjumlah lebih RM588,000 diluluskan menerusi Skim Kesihatan PEKA B40, setakat 20 Julai 2020.

Kedua, di bawah program My30, bagi tempoh yang sama, sebanyak 119,844 pas telah dijual, iaitu peningkatan daripada 112,500 pas, dan subsidi kerajaan bagi pas-pas My30 setakat ini bernilai RM20.4 juta (peningkatan daripada 19.13 juta).

Ketiga, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan -  sejak pendaftaran dibuka pada 15 Jun, 2020, seramai 5,055 pekerja telah mendapat pekerjaan. Jumlah ini merangkumi 3,500 di bawah umur 40 tahun, 800 bagi 40 - 60 tahun, 55 Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 700 perantis.

Bantuan Sosial bagi Golongan Mudah Terjejas pula, Tengku Zafrul menjelaskan bantuan “one-off” RM300 sudah dibayar melibatkan kumpulan OKU dengan seramai 184,538 penerima melibatkan bayaran RM55.36 juta dan kumpulan Perkhidmatan Bantuan Rumah, melibatkan 1,800 penerima berjumlah RM540,000.

Tengku Zafrul berkata proses bayaran akan diteruskan kepada kumpulan ini dan juga kumpulan ibu tunggal sehingga hujung bulan Julai 2020. 

Dalam pada itu, menerusi  Matlamat 2: Melonjakkan Perniagaan pula, beliau berkata menerusi Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS), sebanyak 259 permohonan telah diluluskan dengan jumlah RM1.92 juta, setakat 20 Julai, 2020. 

Kedua, inisiatif baru yang dilancarkan bulan ini iaitu Skim SME-Go bagi Membantu Aliran Tunai PKS, merupakan kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh SME Bank kepada kontraktor yang dianugerahkan projek-projek kecil kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020 dan pakej rangsangan PRIHATIN.

Skim ini dijangka memberi manfaat kepada 16,000 kontraktor kelas G2 dan G3, kata Tengku Zafrul.

“Tujuan pembiayaan Skim SME-Go ini adalah untuk keperluan modal kerja bagi kontrak tersebut dan margin pembiayaan adalah sehingga 100 peratus daripada kos kontrak,” jelas beliau.

PKS yang berminat membuat permohonan boleh melayari laman sesawang https://www.smebank.com.my/ms/smego untuk maklumat lanjut. 

Seterusnya, setakat 20 Julai, 2020, permohonan dari 20 syarikat berjumlah RM46.14 juta diterima bagi inisiatif pinjaman dari “SME Technology Transformation Fund” yang berjumlah RM500 juta. Dana ini dilancarkan bulan ini bagi membantu PKS dalam penggunaan digital atau automasi. 

Sementara itu, bagi menyokong dan membantu sektor seni, budaya, hiburan, acara, dan pameran pula, inisiatif yang baharu dilancarkan adalah melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd dan Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cultural Economy Development Agency – CENDANA). 

Proses permohonan pinjaman atau geran sudah dibuka dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari MyCreative (http://www.mycreative.com.my/) dan CENDANA (https://www.cendana.com.my/). 

Bagi Matlamat Ketiga: Merangsang Ekonomi, Tengku Zafrul berkata kerajaan memperuntukkan dana keseluruhan bagi Dana PENJANA Nasional (DPN) sebanyak RM1.2 bilion di bawah seliaan Kementerian Kewangan. 

Jelas beliau, RM600 juta  adalah sumbangan modal pelaburan daripada pelabur antarabangsa yang menjalinkan usahasama strategik dengan pelabur domestik dan dipadankan RM600 juta suntikan pelaburan daripada kerajaan.

“Sehingga tarikh tutup pada 14 Julai, permohonan strategik bernilai lebih dari RM600 juta telah diterima. Permohonan-permohonan tersebut sedang melalui proses penilaian dan keputusan akan diumumkan pada bulan Ogos,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna untuk memanfaatkan Insentif Cukai untuk pembelian kereta iaitu pengecualian cukai jualan untuk model-model kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD) iaitu 100 peratus, manakala model-model kereta penumpang import (CBU) pula ditolak sebanyak 50 peratus bermula 15 Jun sehingga akhir Disember 2020. 

Selain itu, beliau juga mengajak rakyat agar berbelanja untuk negara menerusi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Kempen yang diharap memanfaatkan syarikat tempatan dan merancakkan lagi pembelian barangan tempatan, menyasarkan jualan lebih RM500 juta bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

“Sehubungan itu, kerajaan juga ingin menyarankan agar penyewa premis swasta memainkan peranan untuk sama-sama membina semula ekonomi kita.

“Pihak swasta disarankan agar bertolak ansur dengan penyewa yang menghadapi kekangan aliran tunai agar mereka mempunyai lebih ruang untuk membangunkan semula perniagaan masing-masing,” ujar beliau. - Bernama 

Advertisement