Anda di sini

Harga tiket penerbangan dijangka kembali normal menjelang November

Advertisement
 
KUALA LUMPUR: Harga tiket penerbangan dijangka akan kembali normal kepada harga purata pada tahun 2019 menjelang November ini, selepas syarikat penerbangan kembali menyediakan perkhidmatan penerbangan dengan kapasiti sebenar, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong (gambar) berkata, berdasarkan analisa yang dilaksanakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), perkara itu bagaimanapun bergantung kepada situasi pandemik COVID-19.

Beliau berkata, syarikat penerbangan dijangka memerlukan masa antara 18 bulan bagi sektor domestik, dan tiga tahun bagi sektor antarabangsa untuk pulih sepenuhnya, daripada impak wabak COVID-19.

“Menurut syarikat penerbangan, walaupun kerajaan telah memutuskan memberi pengecualian arahan jarakan sosial di dalam pesawat, tiket penerbangan tidak semestinya akan turun dengan serta merta.

“Syarikat penerbangan perlu memastikan terdapat permintaan yang berterusan dan stabil, sebelum harga tambang dapat kembali ke tahap normal, seperti sebelum wabak COVID-19,” katanya, menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti), berhubung langkah kementerian mengenai harga tiket penerbangan antara wilayah Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia, yang terlalu tinggi.

Pihaknya juga telah mengarahkan MAVCOM, untuk melaksanakan pemantauan pengenaan kadar tambang yang dikenakan syarikat penerbangan secara berterusan, dan mengadakan sesi libat urus bagi memastikan harga tambang yang dikenakan adalah kompetitif.

Wee berkata, berdasarkan pemantauan MAVCOM bagi tempoh di antara 2 Jun hingga 8 Julai lepas juga, didapati harga tambang penerbangan terutama dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, menunjukkan trend penurunan berbanding pada Mei lepas.

“Bagi perjalanan bagi bulan Julai 2020 pula, MAVCOM mendapati harga tambang telah terus menunjukkan kestabilan dan hampir menyamai harga purata, yang ditawarkan pada tahun 2019.

“Sebagai contohnya adalah harga tiket bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching untuk sehala ialah di antara RM200 hingga RM400, jika dibandingkan dengan harga yang telah dikenakan pada bulan Jun 2020 iaitu melebihi RM1,000,” katanya.

Menjawab soalan tambahan berhubung jumlah penerbangan dibatalkan dan penumpang yang terjejas Wee berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun lepas, sebanyak 169,728 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan, membabitkan tiga syarikat penerbangan negara iaitu AirAsia, Malaysia Airlines (MAS) dan Malindo.

Katanya ia melibatkan jumlah keseluruhan penumpang terjejas sebanyak 4.316 juta, bagi ketiga-tiga syarikat penerbangan terlibat. - BERNAMA

Advertisement