Anda di sini

Usaha tingkat taraf hidup rakyat di luar bandar terus dipergiat: Huang

Advertisement
 Sebahagian daripada projek pembangunan dan aktiviti menaik taraf jalan yang telah dipantau oleh Huang.
FOKUS PEMBANGUNAN: Sebahagian daripada projek pembangunan dan aktiviti menaik taraf jalan yang telah dipantau oleh Huang.

SARIKEI: Usaha meningkatkan taraf hidup rakyat khasnya di kawasan luar bandar akan terus dipertingkatkan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii.

Beliau berkata, ia bagi memastikan jurang hidup antara penduduk luar bandar dan bandar dapat dirapatkan.

“Sejak empat tahun kita diberikan amanah untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini, fokus utama kita ialah membawa seberapa banyak pembangunan.

“Fokus utama kita adalah memantapkan kemudahan infrastruktur di kawasan yang masih ketinggalan, mengutamakan program pembangunan di sekolah-sekolah serta membawa pelbagai aktiviti yang boleh membawa impak positif kepada masyarakat di sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan tinjauan kerja ke beberapa lokasi di sekitar DUN Repok yang sedang giat menjalankan projek pembangunan menggunakan peruntukan daripada kerajaan Sarawak.

Sementara itu, Huang berkata pembangunan luar bandar amat penting untuk meningkatkan sektor pertanian.

Oleh itu katanya, sistem jalan raya yang sempurna akan memudahkan petani memasarkan produk mereka.

“Kini, bahagian Sarikei khasnya dikenali sebagai ‘Food Basket of Sarawak’ dan sebagai sokongan kepada usaha tersebut, kerajaan Sarawak membina Agro Park di Sarikei.

“Justeru, kita berharap masyarakat terus bersama-sama kita untuk merealisasikan impian memajukan Sarikei dalam segenap aspek,” ujar Huang lagi.

Advertisement