Anda di sini

Kenny nafi dakwaan PKR Pitas lumpuh

Advertisement
KENNY
KENNY

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menolak dakwaan cawangan Pitas di bahagian Kudat lumpuh selepas lebih 3,000 ahli keluar parti.

Naib Ketua PKR Sabah Kenny Chua berkata, PKR bahagian Kudat mengalami penstrukturan semula selepas Ketuanya Rahimah Majid dipecat dan tindakan disiplin diambil terhadap ahli parti yang setia kepada bekas Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

"Bekas naib ketua PKR Bahagian Kudat Ruddy Awah tiada pengaruh kepimpinan kerana beliau tidak dipilih dalam pemilihan parti, sebaliknya dilantik ke jawatan itu.

"Penstrukturan semula bahagian Kudat dipantau Ketua Bahagian Kota Marudu, Sazalye Donol yang juga penyelaras zon utara PKR Sabah serta pemangku ketua Bahagian Kudat, Bayan Sein," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kenny menjelaskan, kumpulan itu hanya memperbesarkan jumlah keahlian, sama seperti dakwaan bekas Pengarah Tugas Khas Nani Sakam yang 8,000 ahli keluar parti bulan lalu.

“Tunjukkan jumlahnya kepada kami, siapa yang keluar parti?” katanya.

Dalam pada itu, Sazalye berkata, Ruddy menyasarkan jawatan tertinggi bahagian itu tetapi gagal kerana isu perlembagaan dan memutuskan untuk keluar parti.

Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin turut berkata, Ruddy hanya menyertai PKR lebih setahun lalu.

Baru-baru ini Ruddy mendakwa PKR cawangan Pitas tiada ahli selepas 3,125 ahli meninggalkan parti itu seterusnya menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


 

Advertisement