Anda di sini

MEDAC cadang tubuh koperasi masjid, surau di seluruh negara

Advertisement
Wan Junaidi (tengah) menyampaikan barangan CSR kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan Liew (kiri). Gambar Roystein Emmor.
Wan Junaidi (tengah) menyampaikan barangan CSR kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan Liew (kiri). Gambar Roystein Emmor.

KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mencadangkan penubuhan koperasi di semua masjid dan surau di seluruh negara. 

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perbincangan lanjut mengenai cadangan ini akan diadakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. 

“Kertas cadangan bagi penubuhan koperasi masjid dan surau ini sedang dirangka dan akan diedarkan kepada semua kementerian untuk pertimbangan. 

“Saya yakin Menteri Hal Ehwal Agama akan menerima cadangan ini dengan terbuka kerana kebaikannya begitu besar kepada masyarakat terutama kumpulan B40,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program CSR@Komuniti Parlimen Santubong  sempena Program Pembangunan Kapasiti dan Penggalakan Koperasi di My Village Barok, Kampung Boyan di sini, hari ini. 

Tambah Wan Junaidi, selain cadangan penubuhan koperasi di semua masjid dan surau, MEDAC juga merancang untuk memperluaskan sistem gadaian Islam mikro kredit melalui perkhidmatan Ar-Rahnu. 

Perkhidmatan Ar-Rahnu katanya sangat popular di Kelantan dan Terengganu tetapi masih belum dikenali di Sarawak dengan hanya satu cawangan diwujudkan di negeri ini  setakat ini. 

“Perkhidmatan Ar-Rahnu ditubuhkan oleh kerajaan pada pertengahan tahun 2000 untuk mengatasi masalah Ah Long iaitu peminjam wang yang menekankan peminjam dengan kadar faedah tinggi. 

“Apabila saya mengambil alih MEDAC tahun ini, saya dapati pembangunan Ar-Rahnu agak perlahan dan saya minta kementerian tekankan pembangunan Ar-Rahnu sebagai instrumen kepada rakyat memperolehi sumber kewangan segera pada jumlah kecil,” katanya. 

Terdahulu pada majlis tersebut, Wan Junaidi menyampaikan bantuan kepada enam daripada 150  orang penerima tanggungjawab sosial korporat (CSR) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sarawak dari kawasan Parlimen Santubong. 

Bagi 144 lagi penerima CSR akan dibuat pada 19 dan 20 Julai dengan barangan CSR akan dihantar melalui pejabat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, Demak Laut dan Tanjung Datu. 

Hadir sama, Timbalan Pengarah SKM Negeri Sarawak Liew Liuk Chim, Pemanca Bahagian Kuching Utara Rashidi Junai serta lain-lain. 

  • oleh
  • Advertisement