Anda di sini

Persiapan menghadapi kemungkinan gelombang kedua COVID-19 di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak kini berdepan kemungkinan memasuki gelombang kedua penularan wabak COVID-19 apabila hari ini 10 kes dilaporkan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk bersedia. 

“Hari Isnin ini JKNS akan memaklumkan kedudukan peralatan perlindungan diri (PPE) yang ada di Sarawak. Jika tidak mencukupi, kita akan membeli dan mengarahkan JKNS untuk mempersiapkan petugas barisan hadapan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Uggah yang juga pengerusi JPBNS menambah sebagai menghadapi gelombang kedua jawatankuasa juga akan terus mengadakan ujian rawak di beberapa pasar awam. 

Sehubungan itu, Uggah meminta orang ramai supaya tidak takut dan memberi kerjasama dalam ujian rawak tersebut kerana ia adalah percuma dan baik untuk diri sendiri. 

Uggah turut meminta kontak rapat kes positif di Kuching untuk tampil membuat saringan di klinik kesihatan yang berdekatan. 

Saringan katanya boleh dibuat di Klinik Kesihatan (KK) Jalan Masjid, KK Tanah Putih, KK Kota Sentosa dan KK Batu Kawa setiap Isnin hingga Jumaat dan KK Petra Jaya setiap Isnin hingga Ahad dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. 

Kepada orang awam yang berdegil untuk tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pematuhan (PKPP), pihak penguatkuasa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan dan mengenakan kompaun. 

“Jumlah kes positif agak meningkat dalam beberapa hari ini dan peningkatan ini harus menyedarkan orang ramai bahawa virus masih menular. Maka penting untuk semua mematuhi SOP dan terus mainkan peranan masing-masing dalam usaha mengekang penularan wabak ini. 

"Bagi JPBNS, kita akan terus merangka strategi bagi memutuskan rantaian wabak ini,” katanya. 

Advertisement