Anda di sini

Kehadiran penonton dijangka meningkat dengan adanya garis panduan kesihatan

Advertisement
 

BERLIN, Jerman: Kehadiran semula penonton bola sepak dalam stadium-stadium di Jerman musim hadapan dilihat semakin hampir pada Rabu selepas 36 kelab dari dua liga teratas bola sepak di Jerman menerima garis panduan bagaimana untuk mengekalkan penonton selamat dari jangkitan ekoran pandemik COVID-19.

Musim Bundesliga Jerman sudah berakhir pada bulan Jun dengan baki sembilan perlawanan berlangsung tanpa penonton.

Bagaimanapun, dengan kelab-kelab kerugian berjuta-juta euro dari pendapatan hari perlawanan, Liga Bola Sepak Jerman (DFL) memberikan bantuan tentang bagaimana untuk mewujudkan persekitaran selamat dalam stadium.

“Garis panduan bertindak sebagai satu orientasi untuk struktur asas” konsep kebersihan dan “mengandungi beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan,” kata DFL dalam satu kenyataan.

Setiap kelab akan memerlukan konsep mereka diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Garis panduan DFL sudah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Persekutuan (BMG) Jerman untuk penilaian.

Seperti dijelaskan oleh liga, BMG berkata standard tinggi perlindungan untuk mengelak jangkitan adalah syarat asas sebelum penyokong boleh kembali ke stadium.

Jerman ketika ini mempunyai sekitar 200,000 kes dan merekodkan 9,071 kematian kerana virus.

Kelab-kelab besar seperti Bayern Munich, Borussia Dortmund dan RB Leipzig dilaporkan sudah bekerja dengan konsep kebersihan yang boleh menyaksikan sejumlah kecil penonton akan kembali ke stadium.

Dortmund sudah menguji satu sistem menguji suhu badan penyokong secara menyeluruh.

“Saya berharap bahawa sekurang-kurangnya sejumlah kecil penyokong akan dibenarkan memasuki stadium dari bulan September,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dortmund, Hans-Joachim Watzke pada akhir bulan Jun.

Union Berlin berharap untuk bermain perlawanan di tempat sendiri dengan kapasiti penuh apabila musim baharu Bundesliga Jerman bermula pada 18 September depan.

Union mahu kakitangan kelab diuji dan semua 22,000 pemegang tiket bermusim untuk semua perlawanan di tempat sendiri menunjukkan ujian negatif untuk COVID-19 dalam tempoh 24 jam sebelum sepak mula perlawanan.

Bagaimanapun, rancangan Union itu sudah dikritik dan menyebabkan beberapa pakar virus menganggap rancangan itu “tidak bertanggungjawab”.

“Sehingga kita mempunyai satu vaksin, stadium tidak akan berada pada kapasiti penuh,” kata Ulf Dittmer, pengarah virologi di Universiti Hospital di Essen.

Dittmer bimbang walaupun ujian negatif, ada orang mungkin masih “dijangkiti sehari kemudian dalam stadium” dan menular kepada semua yang berada dalam stadium itu. — AFP

Advertisement