Anda di sini

Hasrat Liverpool untuk lepasi paras 100 mata terkubur

Advertisement
 Penyerang Liverpool, Sadio Mane (tengah) dikawal ketat tiga pemain Arsenal pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London. Arsenal menang dengan 2-1. — Gambar AFP
TUTUP RUANG: Penyerang Liverpool, Sadio Mane (tengah) dikawal ketat tiga pemain Arsenal pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London. Arsenal menang dengan 2-1. — Gambar AFP

LONDON, England: Arsenal menamatkan peluang Liverpool untuk mencipta rekod baharu mata dalam Liga Perdana Inggeris apabila menang 2-1 ke atas juara liga itu sementara Manchester City memastikan Bournemouth semakin hampir ke penyingkiran liga dengan kemenangan 2-1 pada Rabu.

Liverpool perlu menang tiga perlawanan terakhir musim ini untuk mengatasi rekod 100  mata yang dicipta oleh Manchester City ketika muncul juara pada 2018.

Mereka berada di landasan itu apabila Sadio Mane membuka jaringan dengan menyempurnakan hantaran lintang Andrew Robertson di Stadium Emirates.

Tetapi dua kesilapan menghukum Liverpool untuk kekalahan liga ketiga mereka pada musim ini.

Tolakan ke belakang Virgil van Dijk bagaimanapun sampai ke arah penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette, yang berjaya mengelecek penjaga gol Liverpool, Alisson Becker untuk mengikat kedudukan pada minit ke-32.

Alisson juga melakukan kesilapan apabila hantaran beliau dipintas Lacazette dan mengumpan bola kepada Reis Nelson untuk menjaringkan gol kemenangan.

Liverpool gagal memenangi tiga dari lima perlawanan terakhir sejak mengesahkan kejuaraan liga.

Mereka kekal dengan 93 mata dan dengan baki dua perlawanan, paling banyak mata yang mereka mampu kumpul ialah 99 mata pada musim di mana mereka memenangi kejuaraan  liga yang pertama sejak 30 tahun.

“Dua kali kami hilang fokus. Kami ‘berehat’ selepas mendahului 1-0. Dua kesilapan itu memusnahkan segala-galanya,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

“Anda tidak dapat memenangi perlawanan apabila bolos seperti itu. Kami harus belajar dari semua ini.”

Kemenangan melonjak Arsenal ke tangga kesembilan liga ketika mereka memburu kelayakan ke Liga Europa.

Skuad kendalian Mikel Arteta akan mengharungi perlawanan separuh akhir Piala FA Inggeris Sabtu ini menentang Manchester City dengan keyakinan tinggi selepas pasukannya bangkit dari kekalahan kepada Tottenham Hotspur Ahad lepas.

Manchester City meraikan ‘kemenangan besar’ di luar padang pada minggu ini selepas berjaya dalam rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk menarik balik penggantungan dua tahun beraksi di Eropah, membolehkan anak buah Pep Guardiola beraksi di Liga Juara-Juara pada musim hadapan.

Guardiola meletakkan Aymeric Laporte, Kevin De Bruyne, Raheem Sterling dan Riyad Mahrez di bangku simpanan untuk perlawanan menentang Bournemouth bagi mengekalkan mereka cergas untuk perlawanan separuh akhir Piala FA Sabtu depan tetapi pasukan itu masih terlalu kuat buat City dengan prestasi cemerlang David Silva dan Gabriel Jesus.

Kekalahan meletakkan Bournemouth masih kurang tiga mata dari zon selamat.

Wolves kekal kurang tiga  mata dari slot kelayakan ke Liga Juara-Juara dengan baki dua perlawanan selepas seri 1-1 dengan Burnley pada perlawanan di Turf Moor.

Gol penyamaan Burnley dijaringkan menerusi penalti Chris Wood pada minit ke-96.

Pada perlawanan lain, Tottenham Hotspur menewaskan Newcastle United 3-1 di St James’ Park untuk mengekalkan peluang beraksi di Eropah musim hadapan apabila melonjak ke tangga ketujuh liga.

Son Heung-min membuka jaringan buat Spurs tetapi Matt Ritchie berjaya mengikat kedudukan sebelum Harry Kane meletakkan Spurs kembali di hadapan dan kemudian melengkapkan jaringan pada minit akhir. — AFP

Advertisement