Anda di sini

Kes COVID-19 melonjak, jutaan kembali jalani sekatan baharu

Advertisement

WASHINGTON: Jutaan manusia menjalani sekatan pergerakan baharu kelmarin apabila kes koronavirus baharu melonjak, tetapi dalam satu tanda harapan, sebuah syarikat di Amerika Syarikat (AS) berkata ia akan memulakan uji kaji manusia peringkat terakhir bagi vaksin COVID-19 tidak lama lagi.

Moderna yang berpangkalan di Massachusetts akan memulakan uji kaji pada hujung bulan ini selepas hasil ujian awal yang memberangsangkan.

Ketika negara dan bandar raya di seluruh dunia melaksanakan semula sekatan selepas menghadapi wabak baharu bagi penyakit itu, jangkitan di India terus melonjak.

Negara dengan 1.3 bilion penduduk itu telah melonggarkan sekatan pergerakan untuk mengurangkan impak ekonomi – khususnya ke atas ramai warga India yang miskin dan sudah kehilangan pekerjaan.

Hampir 24,000 kematian kini sudah direkodkan di India, menurut perangkaan kementerian kesihatan yang ramai pakar kata tidak menonjolkan keseriusan situasi.

Bangalore, yang mempu-nyai lebih 13 juta penduduk, telah muncul sebagai tompok panas global yang baharu.

Syarikat dalam sektor IT yang menjadi nadi bandar raya itu dan mengendalikan operasi pejabat belakang bagi puluhan syarikat korporat global boleh meneruskan operasi, tetapi hanya separuh kakitangan sahaja dibenarkan di premis.

Pengangkutan dilarang kecuali bagi kecemasan, dan hanya kedai yang menjual barangan keperluan sahaja dibenarkan dibuka.

“Saya tidak mahu meng-ambil risiko. Saya menyimpan stok barangan selama dua minggu,” kata Mangala, seorang suri rumah, ketika dia menyertai barisan panjang untuk membeli keperluan.

Di AS, pengumuman mengenai kemungkinan bagi kemajuan dalam usaha mendapatkan vaksin dibuat apabila hasil diterbitkan daripada peringkat pertama uji kaji vaksin Moderna, yang menunjukkan kesemua 45  peserta pertama membentuk antibodi kepada virus berkenaan.

Moderna dianggap berada pada kedudukan yang utama dalam usaha untuk mencari vaksin menentang korona-virus itu, yang sudah menjangkiti lebih 13.2 juta orang dan membunuh 570,000.

Uji kaji peringkat akhir dijadual dijalankan sehingga Oktober 2022, dan penyelidik menjangkakan hasil awal lama sebelum itu.

Tetapi tidak ada “kepulangan kepada ‘norma lama’ bagi masa depan yang terdekat”, kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin lepas, dan memberi amaran bahawa jika kerajaan tidak mengguna pakai strategi yang menyeluruh, situasi akan bertambah buruk.

Di England, pelitup muka akan diwajibkan di kedai dan pasar raya bermula minggu depan, kata setiausaha kesihatan kelmarin dalam perubahan kepada dasar sebelum ini.

Pelitup muka adalah mandatori di atas pengangkutan awam di seluruh negara sejak 15 Jun, dan Scotland sudah pun mewajibkan pelitup muka bagi pengunjung kedai.

Selepas menyaksikan skala sambutan Hari Bastille dikurangkan dengan drastik di Paris, Presiden Perancis Emmanuel Macron turut berkata beliau ingin melihat pelitup muka diwajibkan di ruang awam yang tutup.

“Kita ada indikasi bahawa wabak semakin cepat sedikit,” katanya.

Kenyataan Macron dibuat selepas doktor memberi amaran tentang gelombang jangkitan kedua yang berpotensi, yang dapat sekali lagi menyesakkan hospital dan memerlukan sekatan pergerakan baharu yang dapat memburukkan lagi ekonomi.

Tetapi Disneyland Paris memulakan “pembukaan semula secara berperingkat-peringkat” semalam, dengan jumlah pelawat yang dihadkan menerusi sistem pendaftaran dalam talian baharu untuk memastikan penjarakan sosial.

Di AS kelmarin, negeri Florida yang teruk terjejas mencatatkan rekod bagi jumlah kematian dalam tempoh 24 jam sebanyak 132.

Di seluruh negara, lebih 63,262 jangkitan baharu dan 850 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam.

California telah menarik balik dengan drastik pelan pembukaan semula dan meng-arahkan semua restoran, bar dan pawagam ditutup semula selepas kes melonjak di negeri paling kaya dengan penduduk paling ramai di AS itu.

Gereja – selain gim, pusat beli-belah, kedai dandanan rambut dan pejabat tidak perlu – juga  mesti menutup operasi tertutup  di separuh daripada daerah dengan penduduk paling padat dan paling teruk terjejas di Ne-geri Emas itu, termasuk Los Angeles.

Impak ekonomi yang teruk akibat daripada pandemik begitu ketara sekali di Si-ngapura, di mana ekonomi menguncup lebih 40 peratus dalam suku kedua, seterusnya meletakkan hab perdagangan dan kewangan Asia Tenggara itu dalam kemelesetan buat pertama kali dalam tempoh sedekad.

“Ia merupakan angka suku tahunan paling buruk dalam sejarah Singapura selama 55 tahun,” kata pakar ekonomi wilayah CIMB Private Banking Song Seng Wun kepada AFP kelmarin.

Perangkaan yang lebih teruk daripada jangkaan pasti akan menimbulkan ke-bimbangan dalam ekonomi lain yang bergantung kepada perdagangan.

Britain turut menyaksikan ekonominya menguncup hampir sebanyak satu perlima dalam tempoh tiga bulan sehingga Mei berbanding suku sebelumnya apabila sekatan pergerakan melumpuhkan aktiviti.

Sejak permulaan Julai, hampir 2.5 juta jangkitan baharu sudah dicatatkan di seluruh dunia, dan jumlah kes  meningkat dua kali ganda sejak enam minggu lepas, menurut satu kiraan AFP berdasarkan perangkaan rasmi.

Amerika Latin pada Isnin lepas merekodkan jumlah kematian serantau yang kedua tertinggi di dunia, dan mengumumkan sebanyak 144,758 kematian untuk mengatasi jumlah 144,023 yang direkodkan di AS dan Kanada.

Ia kini berada di tempat kedua di belakang Eropah.

Afrika Selatan telah me-laksanakan semula perintah berkurung di seluruh ne-gara untuk mencegah “ribut koronavirus” daripada me-musnahkan negara paling teruk terjejas di benua Afrika itu, di mana jangkitan baharu sudah mencecah 12,000 sehari. — AFP

Advertisement