Anda di sini

Jaringan hatrik Pasalic bantu Atalanta benam Brescia

Advertisement
 Pemain tengah Atalanta Mario Pasalic menjaringkan gol pertama untuk pasukannya pada perlawanan Serie A Itali di antara Atalanta menentang Brescia kelmarin di stadium Atleti Azzurri d’Itali di Bergamo. — Gambar AFP
PEMBUKA TIRAI: Pemain tengah Atalanta Mario Pasalic menjaringkan gol pertama untuk pasukannya pada perlawanan Serie A Itali di antara Atalanta menentang Brescia kelmarin di stadium Atleti Azzurri d’Itali di Bergamo. — Gambar AFP

MILAN: Mario Pasalic menjaringkan hatrik ketika Atalanta menewaskan kelab jiran, Brescia 6-2 untuk melonjak ke tangga kedua Serie A Itali pada Selasa.

Skuad kendalian Gian Piero Gasperini itu memperbaharui rekod 13 perlawanan liga tanpa kalah untuk berada kurang enam mata di belakang pendahulu liga, Juventus, yang bermain lewat menentang Sassuolo.

Inter Milan dan Lazio kurang dua mata di belakang Atalanta sebelum menentang SPAL dan Udinese masing-masing pada lewat minggu ini.

Atalanta sudah menjaringkan 93 gol liga  musim ini – 26 gol lebih  banyak berbanding Juventus, juara liga lapan kali berturut-turut.

“Kami tidak mahu memalukan lawan tetapi kami cuba bermain seperti yang dirancang,” kata Gasperini.

“Seperti tahu lepas, kami adalah jentera serangan terbaik dalam liga, tahun ini kami mengatasi diri kami sendiri, menjaringkan lebih banyak gol dengan pemain yang berbeza.

“Bermain dalam Liga Juara-Juara membantu kami berkembang,” tambah Gasperini, dengan pasukannya akan menentang Paris Saint Germain (PSG) pada pusingan suku akhir  kejohanan bulan hadapan.

“Kami membuat persediaan untuk menentang Paris Saint Germain tetapi kami juga berusaha untuk menamatkan Serie A di kedudukan yang lebih bagus.

“Saya fikir cara terbaik untuk membuat persediaan pad 12 Ogos (menentang PSG) ialah bermain lima perlawanan liga terakhir dengan sebaik mungkin.”

Perlawanan di antara Atalanta dan Brescia, pasukan di tangga ke-19 liga adalah salah satu dari dua pasukan berjiran di bandar raya paling terjejas teruk akibat pandemik koronavirus (COVID-19).

Tafakur seminit dilakukan sebelum sepak mula dengan pemain membentuk bulatan di tengah padang bersama-sama iringan muzik “Rinascero, Rinascerai” nyanyian dari ahli muzik Bergamo, Roby Faccinetti.

Penjaring terbanyak Atalanta, Luis Muriel, dengan 17 gol liga musim ini, menjadi penonton selepas meninggalkan hospital kerana kecederaan di bahagian kepala selepas terjatuh di kediamannya.

Tetapi ketiadaan beliau tidak dirindui apabila Pasalic membuka jaringan seawal minit kedua perlawanan di Stadium Gewiss dengan menyempurnakan hantaran Ruslan Malinovskyi.

Brescia mengikat kedudukan beberapa minit kemudian dari rembatan Ernesto Torregrossa selepas pemain pertahanan Atalanta, Mattia Caldara, gagal menolak kemas bola bahaya.

Atalanta bagaimanapun kembali di hadapan dengan empat gol selepas setengah jam menerusi gol Marten De Roon, Malinovskyi dan tandukan Duvan Zapata dalam tempoh lima minit.

Selepas itu, ia giliran Pasalic untuk melengkapkan hatrik apabila menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-55 sebelum gol ketiga menyusul tiga minit kemudian.

“Ia adalah saat terbaik dalam kerjaya saya,” kata Pasalic selepas hatrik pertamanya.

“Masih ada baki lima perlawanan dan kami boleh melakukan yang lebih bagus lagi.

“Kami sudah menjaringkan lebih dari 90 gol dalam Serie A, kami menunjukkan bahawa ketika menentang Juventus (seri 2-2), kami juga boleh bersaing dengan pasukan terkuat liga.” — AFP

Advertisement