Anda di sini

Guardiola mahu permohonan maaf

Advertisement
GUARDIOLA
GUARDIOLA

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata pasukan beliau sewajarnya mendapat permohonan maaf selepas berjaya menarik balik penggantungan beraksi di Eropah namun dua rakan sejawatan, Jose Mourinho dan Jurgen Klopp, menyelar keputusan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

CAS pada Isnin menarik balik penggantungan dua tahun ke atas City, yang dikenakan pada awal tahun ini oleh badan induk bola sepak Eropah  (UEFA) kerana melanggar peraturan kewangan bersih (FFP) di antara tahun 2012 dan 2016.

Guardiola merasakan  kelab telah membuktikan mereka tidak bersalah selepas bertahun-tahun dituduh berkaitan kekuatan kewangan mereka dan berkata ia adalah masa untuk pihak lain menerima kedudukan mereka dalam pasukan elit.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Ia menunjukkan bahawa apa yang diperkatakan tentang kelab ini adalah tidak benar,” kata Guardiola pada sidang media sebelum perlawanan.

“Kami seharusnya menerima permohonan maaf,” tambah beliau. “Jika kami melakukan sesuatu yang salah, kami boleh menerima keputusan dari UEFA dan CAS.”

Guardiola menyelar kelab pesaingnya dalam Liga Perdana Inggeris di atas apa yang beliau percaya kempen “rahsia” memburukkan mereka.

“Kami tidak menjangkakan Liverpool, Tottenham, Arsenal, Chelsea atau Wolves atau semua kelab untuk mempertahankan kami tetapi kami mempunyai hak untuk mempertahankan diri kami sendiri apabila kami percaya apa yang kami lakukan adalah tepat, dan tiga hakim bebas juga berkata begitu,” kata beliau.

Mourinho, pengurus Tottenham, berkata keputusan CAS adalah satu “malapetaka” dan menunjukkan FFP, yang menghadkan perbelanjaan kelab selari dengan pendapatan mereka, adalah tidak berguna sementara Klopp, pengurus Liverpool berkata kejayaan rayuan City adalah hari yang malang untuk bola sepak.

City dihukum oleh UEFA pada bulan Februari kerana “melanggar serius” peraturan FFP tetapi dengan segera membantah keputusan itu.

CAS mendapati bahawa City gagal bekerjasama dengan pihak berkuasa UEFA tetapi berkata kelab “tidak merahsiakan ekuiti pembiayaan sebagai sumbangan penaja”.

UEFA menyedarinya dalam satu kenyataan bahawa banyak dakwaan mereka berada di luar had lima tahun dari peraturan mereka sendiri.

Denda awal 30 juta euro yang dikenakan oleh UEFA juga dikurangkan kepada 10 juta euro oleh CAS. Bagaimanapun, denda adalah kerana kegagalan City bekerjasama dengan siasatan UEFA berbanding melanggar peraturan FFP.

Mourinho berkata jika didapati bersalah, City seharusnya digantung – tetapi jika mereka tidak bersalah, mereka seharusnya tidak membayar sebarang denda.

“Ia satu keputusan memalukan, kerana jika Man City tidak bersalah, maka jika dihukum dengan denda wang, ia sesuatu yang memalukan. Jika anda tidak bersalah, anda tidak dihukum. Dan juga, jika anda bersalah, anda harus digantung, jadi ia juga keputusan memalukan. Dalam apa jua kes, keputusan  ini adalah satu malapetaka,” kata Mourinho.

Pada Rabu, Tottenham menentang Newcastle, kelab yang akan mendapat kelebihan dari sebarang pelonggaran peraturan FFP jika pembelian disokong hartawan Arab Saudi diluluskan oleh Liga Perdana.

Dan Mourinho percaya berikutan dengan keputusan City, ada kemungkinan pemilik kaya raya baharu merasakan mereka tidak perlu mematuhi peraturan.

“Saya amat percaya FFP sudah mati,” tambah beliau. “Pemilik baharu kelab akan merasakan peluang sudah terbuka sekarang.”

Klopp berharap penyertaan City pada Liga Juara-Juara musim hadapan akan membantu pasukannya mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Namun beliau percaya sebarang pembatalan FFP, yang membantu mengurangkan beban hutang kelab di seluruh bola sepak Eropah, adalah buruk untuk bola sepak.

“Dari pandangan peribadi, saya gembira dengan Manchester City boleh bermain dalam Liga Juara-Juara musim hadapan kerana jika mereka tidak beraksi di Eropah, saya tidak melihat ada peluang untuk pasukan lain dalam Liga Perdana,” kata Klopp.

“Saya tidak mahukan sesuatu yang buruk kepada kelab lain tetapi saya tidak fikir ia adalah hari  yang baik untuk bola sepak. FFP adalah idea yang bagus dan ia adalah untuk melindungi kelab dan pertandingan dan kelab harus memastikan wang yang mereka perolehi adalah dari sumber yang sah.” — AFP

Advertisement