Anda di sini

Yuran asrama, perkhidmatan universiti semester kedua dikurangkan sehingga 15 peratus

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Yuran asrama dan yuran perkhidmatan di universiti awam bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020 dikurangkan sehingga 15 peratus, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad (gambar)

Katanya langkah itu melibatkan peruntukan berjumlah RM72 juta dengan RM20 juta telah dipersetujui secara bersama Kementerian Kewangan dan baki adalah menerusi peruntukan dalaman universiti.

“Seramai 523,318 penuntut universiti awam di seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada keputusan ini,” katanya ketika sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Noraini berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengembalikan semula sebahagian daripada yuran yang telah dibayar penuntut memandangkan mereka tidak masuk ke kampus sejak Mac lalu akibat COVID-19. 

Noraini juga berkata pengurangan yuran terbabit dibuat selepas mengambil kira keluhan  pelajar dan ibu bapa yang menghadapi bebanan kewangan susulan penularan COVID-19.

Sementara itu, menjawab soalan asal Shamsul Iskandar mengenai kemasukan penuh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memulakan pengajian pada Oktober, Noraini berkata IPT telah diberikan fleksibiliti untuk menentukan mod pembelajaran bersesuaian termasuk kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

“Namun begitu, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Pada 8 Julai lalu, kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan empat lagi kategori penuntut  IPT ke kampus secara berperingkat mulai bulan ini dan kemasukan sepenuhnya pada Oktober.

Bagi memastikan keputusan berkenaan dapat dilaksanakan dengan sempurna, Noraini berkata IPT dan semua penuntut hendaklah membuat persediaan yang diperlukan dari sekarang. - Bernama 

Advertisement