Anda di sini

United terlepas peluang melonjak naik ke tangga ketiga

Advertisement
 Penyerang Southampton Michael Obafemi (dua kiri) menjaringkan gol  pada perlawanan Liga Perdana Inggeris  English di antara Manchester United dan Southampton di Old Trafford di Manchester, England, kelmarin. — Gambar  AFP
SENGIT: Penyerang Southampton Michael Obafemi (dua kiri) menjaringkan gol pada perlawanan Liga Perdana Inggeris English di antara Manchester United dan Southampton di Old Trafford di Manchester, England, kelmarin. — Gambar AFP

MANCHESTER, England: Manchester United terlepas peluang keemasan untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris pada Isnin selepas Michael Obafemi menjaringkan gol penyamaan minit ke-96 untuk membolehkan Southampton mengikat kedudukan 2-2 di Old Trafford, sekali gus menambah lagi drama dalam saingan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

United gagal mengambil sepenuh peluang dari kekalahan Chelsea dan Leicester, dua pasukan di hadapannya dalam liga untuk kekal di tangga kelima liga.

United menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Perdana untuk memenangi empat perlawanan berturut-turut dengan jurang tiga gol, tetapi tiada permainan selesa buat United kali ini walaupun mereka berjaya bangkit dari gol pembukaan Southampton yang dijaringkan Stuart Armstrong.

Dua gol dalam tempoh beberapa minit dari Marcus Rashford dan Anthony Martial kelihatan memberikan tiga mata kepada United tetapi pertahanan mereka terleka seketika dari satu tendangan sudut pada minit kecederaan apabila pemain gantian, Obafemi, menyempurnakan hantaran Jan Bednarek untuk gol penyamaan.

“Ia adalah masa yang terburuk untuk bolos gol tetapi ia lumrah dalam sukan bola sepak. Anda harus tabah untuk menerimanya,” kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.

“Kami sudah memenangi begitu banyak perlawanan dengan cara kami sendiri tetapi kali ini, ia adalah sebahagian dari proses pembelajaran untuk pasukan ini.”

Kejayaan Manchester City menarik balik hukuman penggantungan dua tahun beraksi di Eropah pada awal hari yang sama telah meningkatkan tekanan ke atas United untuk mengekalkan prestasi mereka dengan hanya empat tangga teratas kini untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Solskjaer pastinya masih yakin untuk mencapai sasaran itu kerana pasukannya kini sudah merapatkan jurang ketinggalan lapan mata di belakang Leicester, lawan mereka pada perlawanan terakhir musim ini, sejak musim bola sepak Inggeris disambung semula.

Tetapi keciciran dua mata pada Isnin adalah satu peringatan bahawa United masih belum selesa jika mereka menggapai impian mencabar Liverpool dan Manchester City untuk kejuaraan liga pada musim hadapan.

“Kami tidak selayaknya tiga mata hari ini,” akui Solskjaer. “Kami tidak menemui rentak dari hantaran kami hari ini, walaupun selepas mendahului 2-1.”

Rekod 17 perlawanan tanpa kalah United kelihatan dalam bahaya apabila Southampton  - yang turut dalam prestasi memberangsangkan – mendapat ganjaran dari permulaan meyakinkan di Old Trafford.

Skuad kendalian Ralph Hassenhuttl mungkin berada di tangga ke-12 liga tetapi mereka hanya tewas sekali dari enam perlawanan sejak musim disambung semula.

“Kami menjadi semakin berani,” kata Hassenhuttl. “Anda boleh merasakan pemain benar-benar gembira dengan apa yang mereka lakukan.”

Kepulangan Paul Pogba dari kecederaan telah memainkan peranan besar dalam ketajaman jentera serangan United tetapi pemain tengah itu menjadi punca gol pembukaan pasukan lawan apabila hilang bola kepada Danny Ings.

Redmond kemudian melakukan umpanan kepada Armstrong yang tidak dikawal sebelum melakukan rembatan melepasi penjaga gol United, David de Gea.

United sekarang sudah menjaringkan 16 gol dari lima perlawanan liga terakhir untuk merapatkan jurang dengan Chelsea dan Leicester dalam saingan empat tangga teratas liga.

Ketajaman jentera serangan itu menjadi bukti sekali lagi apabila mengubah rentak permainan dalam masa dua minit apabila Martial mengumpan bola kepada Rashford untuk gol penyamaan, yang juga gol ke-21 beliau musim ini.

Rashford dan Martial bergandingan sekali lagi tidak lama selepas itu untuk juga gol ke-21 Martial musim ini, yang juga gol liga ke-50 beliau dalam kerjayanya.

Southampton bernasib baik mengekalkan 11 pemain sebelum rehat apabila Oriol Romeu terselamat tindakan walaupun semakan video bantuan pengadil (VAR) melihat terjahan keras beliau ke atas Mason Greenwood.

United gagal mengekalkan rentak yang sama selepas rehat dan mendapat amaran pertama apabila De Gea dipaksa bertindak tangkas menepis rembatan Redmond.

United kehilangan seorang pemain pada minit akhir apabila Brandon Williams terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan di bahagian kepala, dengan Solskjaer sudah menurunkan kesemua tiga slot pertukaran pemain.

Dan keadaan menjadi lebih malang buat United apabila Obafemi menjaringkan gol penyamaan, sekali gus menafikan harapan United untuk melonjak ke tangga ketiga liga. — AFP

Advertisement