Anda di sini

SMA mohon lesen untuk sedia perkhidmatan internet luar bandar

Advertisement
Abang Johari bersama yang lain pada sidang media selepas melancarkan Bas Sekolah Percuma, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.
Abang Johari bersama yang lain pada sidang media selepas melancarkan Bas Sekolah Percuma, hari ini. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dijangka akan menyediakan perkhidmatan internet di luar bandar sebaik sahaja mendapat lesen penyedia perkhidmatan internet (ISP).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia ekoran keengganan syarikat telekomunikasi ke kawasan pedalaman negeri ini kerana disifatkan tidak memberi keuntungan perniagaan kepada syarikat mereka.

"Kita memang sedang melaksanakan projek pembinaan menara telekomunikasi namun masalah yang berlaku kini adalah di kawasan luar bandar dimana syarikat telekomunikasi tidak mahu beroperasi.

"Mereka tidak mahu datang ke kawasan luar bandar kerana ia tidak memberikan perniagaan kepada mereka tetapi kita amat memerlukan perkhidmatan ini di luar bandar dan maka itu kerajaan negeri menerusi SMA akan melaksanakannya.

"Namun, kita perlu mendapatkan lesen ISP dalam usaha ini, dan saya telah berjumpa dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia minggu lepas dan memohon untuk mendapatkan lesen ISP bagi SMA sama seperti lesen penyedia telekomunikasi lain," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bas Sekolah Percuma, hari ini. 

Menurut Abang Johari, dengan kerajaan negeri menerusi SMA yang melaksanakan perkhidmatan berkenaan, maka kadar bayaran internet yang dikenakan adalah lebih murah kerana disubsidi kerajaan.

Beliau tidak menafikan faktor keengganan syarikat telekomunikasi melaksanakan perkhidmatan internet di luar bandar juga disebabkan kos pemasangan infrastruktur, operasi serta penyelenggaran yang tinggi.

"Oleh itu, anda melihat kebanyakan kawasan sudah ada menara tetapi belum ada pemancar dan perkara ini yang sering menjadi aduan kerana menara sudah didirikan tetapi tiada internet.

"SMA tidak dapat melaksanakan perkhidmatan di kawasan-kawasan berkenaan memandangkan kita belum mendapat lesen ISP dan kita berharap ia (lesen) diluluskan secepat mungkin," ujarnya.

Katanya sehingga kini, SMA telah memasang lebih kurang 170 menara tetapi belum ada syarikat telekomunikasi yang tampil menyediakan perkhidmatan.

Beliau memberitahu Sarawak menyasarkan sehingga 2025, keseluruhan negeri bakal mempunyai 1,400 menara telekomunikasi.

  • oleh
  • Advertisement