Anda di sini

Pembukaan semula sekolah lancar, patuhi SOP 

Advertisement
 
Murid-murid Sekolah Kebangsaan Jelapang, Ipoh memakai pelitup muka dan diperiksa suhu badan sebelum dibenarkan memulakan semula sesi persekolahan dalam norma baharu ketika tinjauan hari ini.
 - Gambar Bernama 
Murid-murid Sekolah Kebangsaan Jelapang, Ipoh memakai pelitup muka dan diperiksa suhu badan sebelum dibenarkan memulakan semula sesi persekolahan dalam norma baharu ketika tinjauan hari ini.
 - Gambar Bernama 

KUALA LUMPUR: Setelah lebih empat bulan ‘bercuti’ susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, pembukaan semula sekolah dalam keadaan normal baharu hari ini berjalan lancar dengan pematuhan terhadap prosedur pengendalian standard (SOP) ditetapkan.

Kehadiran pelajar Tingkatan Satu hingga Empat, murid Tahun Lima dan Enam serta pelajar kelas peralihan itu menyaksikan setiap pelajar yang tiba lengkap memakai pelitup separuh muka, diperiksa suhu badan, mencuci tangan dengan cecair pensanitasi tangan, sebelum dibenarkan masuk ke kelas.

Malah, ada antara pelajar yang segak memakai pakaian beruniform sempena hari Kokurikulum yang lazimnya diadakan pada setiap Rabu, manakala ibu bapa pula hanya dibenarkan menghantar anak masing-masing setakat di pintu utama sekolah. 

Ceria bertemu rakan-rakan, mereka mematuhi panduan guru dan mengikuti SOP termasuk mengamalkan jarak sosial walaupun agak kekok kerana terpaksa duduk berjauhan antara satu sama lain. 

Di KELANTAN, Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, Tanah Merah berkata pembukaan semula sekolah pada hari ini berjalan lancar dengan semua warga sekolah mematuhi SOP ditetapkan. 

Tinjauan Bernama di daerah itu mendapati pelajar dan murid memakai pelitup separuh muka serta pihak sekolah merekodkan kedatangan dan suhu pelajar sebelum mereka masuk ke kelas.

Untuk rekod, seramai 84,237 pelajar Tingkatan Satu hingga Empat dan 56,478 murid Tahun Lima dan Enam yang memulakan persekolahan hari ini di Kelantan.

 Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Ahmad Maher, Prof Dr Wan Hazabbah Wan Hitam berkata pihaknya bekerjasama dengan pengurusan tertinggi sekolah untuk melengkapkan SOP di sekolah berkenaan.

Di KUALA LUMPUR, tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Setapak mendapati semua laluan ditanda dengan pelekat bagi menandakan arah yang perlu diikuti pelajar dan guru bertujuan mematuhi jarak sosial dengan suhu badan keseluruhan 219 pelajar diambil sebanyak dua kali. 

Sekolah berkenaan menggunakan teknologi pengimbas suhu dan muka bagi merekodkan data tersebut sebelum pelajar memasuki bilik darjah dan ia juga dilakukan bagi memastikan mereka benar-benar sihat.

Selain pelajar Tingkatan Satu hingga Empat dan pelajar kelas peralihan serta murid Tahun Lima dan  Enam yang kembali bersekolah hari ini, Radzi sebelum ini berkata pembukaan semula sekolah bagi murid Tahun Satu hingga Empat adalah pada 22 Julai.

Sementara itu di PERAK, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jelapang, Noor Azman Zainal Abidin berkata pihaknya sentiasa memastikan kesemua 368 murid mengikuti SOP, selain mereka perlu melalui dua ‘thermoscan infrared’ yang diletakkan di pintu masuk sekolah.

Di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata kesemua 399 sekolah rendah dan menengah di negeri itu memilih untuk menggunakan Model Satu Sesi dan Dua Sesi bagi sesi persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PERLIS, Rozieana Ahmad pula berkata 42,873 pelajar memulakan sesi persekolahan melibatkan 19,135 pelajar sekolah menengah dan 23,738  murid sekolah rendah daripada 104 sekolah di negeri berkenaan.

Di SELANGOR, tinjauan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Shah Alam mendapati rata-rata pelajar kelihatan teruja apabila dapat berjumpa semula dengan rakan-rakan dan penuh bersemangat untuk memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib yang turut melakukan tinjauan pematuhan SOP di sekolah itu berkata pihaknya berpuas hati dengan persiapan dilakukan pihak sekolah.

Di KEDAH, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Datuk Najmi Ahmad berkata 195,929 pelajar  Sekolah Rendah Agama Rakyat dan Sekolah Menengah Agama Rakyat di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, serta institusi pendidikan agama yang tidak berdaftar dengan jabatan itu turut memulakan persekolahan hari ini.

Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad ketika lawatannya ke Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda 2, berkata 14 daripada 15 sekolah yang dijadikan pusat penempatan sementara mangsa banjir melibatkan daerah Muar, Tangkak, Batu Pahat dan Pontian, turut mengadakan sesi persekolahan seperti biasa hari ini.

Di MELAKA, Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad berkata seramai 80,071 pelajar sekolah rendah dan menengah memulakan sesi pembelajaran.

Sementara di PAHANG, Pengarah Pendidikan negeri Zaimi Abu Bakar berkata dua sekolah di Lipis iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah dan SK Aur Gading tidak dibuka hari ini ekoran banjir, manakala 44,038 murid Tahun Lima dan Enam, serta 89,600 daripada jumlah keseluruhan 94,041 pelajar sekolah menengah direkodkan hadir memulakan sesi persekolahan hari ini. 

"SK Chegar Perah yang mempunyai 83 murid dan 12 guru kini dijadikan pusat pemindahan sementara manakala SK Aur Gading ditutup kerana jalan ke sekolah dinaiki air dan dijangka boleh beroperasi esok jika keadaan mengizinkan," katanya. 

Di SABAH, Pengarah Pendidikan negeri Dr Mistirine Radin berkata seramai 368,875 pelajar dari 1,294 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri memulakan sesi persekolahan hari ini. - Bernama 

Advertisement