Anda di sini

Dipenjara kerana salah guna wang sekolah

Advertisement
 Tertuduh mengaku bersalah atas sepuluh pertuduhan salah guna wang.
TERIMA HUKUMAN: Tertuduh mengaku bersalah atas sepuluh pertuduhan salah guna wang.

KUCHING: Seorang penjawat awam dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah menyalahgunakan wang berjumlah RM218,163.86.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong juga mengenakan sepuluh sebatan terhadap Mohd Hasbullah Salleh, 31.

Tertuduh yang semasa kejadian bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah sekolah kerajaan di Simunjan, didakwa atas sepuluh pertuduhan pindaan yang dibuat di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang diamanahkan untuk menyimpan buku cek untuk bank akaun dan dokumen lain milik sekolah berkenaan seperti baucar bayaran, buku tunai dan buku subsidiari, telah melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2015 hingga 2017.

Menurut keterangan kes, tertuduh dikatakan menyalahgunakan peruntukan yang diberi oleh Kementerian Pendidikan kepada Kumpulan Wang Asrama (KWA) untuk kegunaan peribadi.

Peruntukan tersebut sepatutnya digunakan untuk pembelian makanan dan minuman bagi sejumlah pelajar yang tinggal di asrama sekolah berkenaan.

Semasa penyiasatan dijalankan juga, pihak berkuasa mendapati terdapat satu cek telah dipalsukan dan didepositkan ke sebuah akaun syarikat milik rakan tertuduh.

Tertuduh dikatakan meminjam lesen perniagaan syarikat tersebut untuk membekalkan barangan keperluan sekolah.

Sebaliknya, syarikat berkenaan didapati tidak membekalkan apa-apa keperluan dan cek yang didepositkan telah dikeluarkan secara tunai oleh pemilik syarikat serta diberikan kepada tertuduh dalam jumlah yang tidak dapat dikenal pasti.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Nisla Abdul Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement