Anda di sini

CAS tarik balik penggantungan Manchester City beraksi di Eropah

Advertisement

LAUSANNE, Switzerland:  Manchester City dibenarkan untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara musim hadapan selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Isnin menarik balik penggantungan dua musim beraksi dalam pertandingan Eropah yang dikenakan oleh badan induk bola sepak Eropah (UEFA).

Kelab Liga Perdana Inggeris itu dihukum pada bulan Februari kerana “pelanggaran serius” peraturan kewangan bersih (FFP) tetapi membantah keputusan dengan segera.

City dituduh secara sengaja menipu jumlah pendapatan dari penajaan yang mempunyai pertalian dengan Kumpulan Abu Dhabi United, yang juga dimiliki oleh pemilik City, Sheikh Mansour, untuk mengelak dari gagal mematuhi peraturan FFP di antara 2012 dan 2016.

UEFA melancarkan satu siasatan selepas majalah Jerman, Der Spiegel mengeluarkan beberapa siri e-mel bocor pad 2018.

CAS mendapati City gagal bekerjasama dengan pihak berkuasa UEFA tetapi menambah kelab “tidak merahsiakan pembiayaan ekuiti sebagai sumbangan penaja”.

Denda awal 30 juta euro juga telah dikurangkan kepada 10 juta euro.

UEFA menyedari dalam satu kenyataan bahawa kebanyakan dakwaan berada di luar had lima tahun dari peraturannya sendiri.

“UEFA mengakui bahawa panel CAS mendapati bahawa tiada cukup bukti untuk mengekalkan semua kesimpulan siasatan CFCB dalam kes khusus dan banyak dakwaan pelanggaran peraturan berada di luar had tempoh lima  tahun dalam peraturan UEFA,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

City, yang dimiliki Sheikh  Mansour sejak 2008, didenda 60 juta euro pada 2014 kerana melanggar peraturan FFP sebelum ini.

City mengalu-alukan keputusan pada Isnin, yang akan memberikan perubahan besar kepada kewangan kelab dan berpotensi menentukan masa depan pengurusnya, Pep Guardiola dan juga pemain bintang seperti Raheem Sterling dan Kevin De Bruyne.

Kelab memperolehi 93 juta euro dari hadiah kemenangan UEFA dan hak penyiaran TV pada pertandingan Liga Juara-Juara musim lepas sahaja, dengan kutipan tiket stadium dan pendapatan penajaan tambahan dari pertandingan kelab ditambah kepada jumlah itu.

“Ketika Manchester City dan penasihat undang-undangnya masih belum menyemak keputusan penuh oleh CAS, kelab mengalu-alukan kesan dari keputusan hari ini (Isnin) sebagai satu pengesahan kedudukan kelab dan bukti yang ia dapat sampaikan,” kata City dalam satu kenyataan.

“Kelab mahu mengucapkan terima kasih kepada anggota panel di atas kegigihan dan usaha yang mereka lakukan.”

Sejak pembelian kelab oleh Sheikh Mansour 12 tahun yang lalu, nasib City sudah berubah. Dari kelab yang sentiasa dibayangi oleh kelab jiran Manchester United yang  memenangi 11 trofi dalam tempoh sembilan tahun termasuk empat kejuaraan Liga  Perdana Inggeris.

Lebih  banyak kejuaraan mungkin akan tiba pada akhir musim ini dengan City akan menentang Arsenal pada perlawanan separuh akhir Piala FA Inggeris pada Sabtu sebelum musim Liga Juara-Juara disambung semula pada bulan Ogos, dengan City memiliki kelebihan 2-1 dari perlawanan pertama pusingan kedua.

Pada Sabtu lalu, mereka mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan buat musim ke-10 berturut-turut dengan membelasah Brighton 5-0.

“Kami selayaknya berada di kedudukan ini kerana kami memenanginya dalam padang,” kata Guardiola menjelang keputusan CAS.

Kemenangan City di CAS akan membangkitkan persoalan baharu tentang keberkesanan polisi FFP.

Kelab yang dimiliki hartawan dari Qatar, Paris Saint Germain (PSG), juga memenangi rayuan kes terhadap UEFA untuk membantah membuka semula siasatan ke dalam dakwaan melanggar peraturan FFP tahun lepas.

FFP, yang menghadkan kelab dari kerugian lebih dari 30 juta euro sepanjang tempoh tiga tahun, dengan pengecualian untuk beberapa kos seperti pembangunan belia dan pasukan wanita, telah membantu mengurangkan nilai hutang dalam bola sepak Eropah.

“Dalam beberapa tahun, FFP memainkan peranan penting dalam melindungi kelab dan membantu mereka menjadi stabil dari segi kewangan dan UEFA dan ECA (Persatuan Kelab Eropah) tetap komited dengan prinsip mereka,” tambah UEFA dalam kenyataan.

Keputusan itu juga memberi kesan pada akhir musim Liga Perdana Inggeris.

Dengan hanya enam mata memisahkan pasukan di tangga ketiga dan tangga ketujuh, banyak kelab berharap penggantungan City dikekalkan, yang bermakna kedudukan di tangga kelima pada akhir musim sudah memadai untuk layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Sebaliknya, Chelsea, Leicester City, Manchester United, Wolves dan Sheffield United akan bersaing sengit untuk baki dua slot ke Liga Juara-Juara. — AFP

Advertisement