Anda di sini

California tutup semula premis perniagaan, rumah ibadat

Advertisement
 Tukang gunting rambut dan pelanggan mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka di sebuah salun rambut                   di Los Angeles, California kelmarin sejurus sebelum gabenor negeri itu mengarahkan penutupan semula premis perniagaan              dan rumah ibadat untuk mengekang penyebaran COVID-19. — Gambar AFP
PATUHI SOP: Tukang gunting rambut dan pelanggan mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka di sebuah salun rambut di Los Angeles, California kelmarin sejurus sebelum gabenor negeri itu mengarahkan penutupan semula premis perniagaan dan rumah ibadat untuk mengekang penyebaran COVID-19. — Gambar AFP

LOS ANGELES: Gabenor California Gavin Newsom kelmarin mengarahkan semua restoran di dalam bangunan, bar dan panggung wayang ditutup semula ketika kes koronavirus  meningkat di sekitar negeri tersebut.

Gereja di samping premis perniagaan termasuk gim, pusat beli-belah, salun rambut dan pejabat tidak pen-ting juga harus menutup operasi dalaman mereka di 30 daerah teruk terjejas di negeri ini termasuk Los Angeles, kata beliau.

“Kami telah kembali semula ke tempoh modifikasi bagi arahan asal ‘duduk di rumah’,” tambah Newsom.

Keputusan telah diambil ketika perkhidmatan hospital, termasuk pesakit unit rawatan intensif, bertambah di negeri barat yang telah mula dibuka semula pada Mei, gabenor tersebut memberitahu satu sidang media.

Kadar positiviti bagi mereka yang diuji telah meningkat dengan lebih daripada 20 peratus sepanjang tempoh dua minggu lepas, jelas beliau.

California melaporkan 8,358 kes koronavirus baharu pada Ahad lepas, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 330,000 termasuk lebih 7,000 kematian.

Pengumuman ini muncul ketika pegawai pendidikan di Los Angeles dan San Diego menyatakan sekolah akan kekal ditutup ketika kelas akan disambung semula pada bulan depan, dengan pendidikan dijalankan secara dalam talian.

“Ketika tahun persekolahan baharu akan bermula pada 18 Ogos seperti yang dijadualkan, ia tidak akan bermula dengan pelajar di dalam fasiliti sekolah,” kata Austin Beutner, superintenden sekolah bagi Los Angeles, daerah kedua terbesar di negara berkenaan dengan kira-kira 600,000 pelajar.

“Kesihatan dan keselamatan semua dalam komuniti sekolah adalah sesuatu yang kita tidak boleh kompromi.”

Presiden Donald Trump sedang mendesak bagi pembukaan sekolah sepenuhnya pada musim luruh ini, walaupun pandemik mencatatkan rekod kes harian baharu di kebanyakan bahagian di negara itu. — AFP

Advertisement