Anda di sini

Bank Rakyat tawar hadiah lebih RM400,000 menerusi kempen Emas 2 Kilo

Advertisement
 

KUCHING: Bank Rakyat melancarkan semula Kempen Emas 2 Kilo dengan menawarkan sebanyak 28 hadiah bernilai keseluruhan melebihi RM400,000 atau 2 kilogram (kg) emas kepada pelanggan Pajak Gadai-i Ar-Rahnu dan Ar-Rahnu X'Change.

Kempen berkonsepkan 'Pajak dan Menang' yang akan berlangsung mulai 15 Julai sehingga 15 November 2020 ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan khidmat Pajak Gadai-i Ar-Rahnu menerusi 185 cawangan Bank Rakyat dan Ar-Rahnu X'Change di seluruh negara serta untuk menghargai pelanggan setia Bank.

Bank Rakyat dalam kenyataan hari ini berkata, kempen yang dianjurkan buat tahun ketiga ini diteruskan lagi kerana sambutan memberangsangkan diterima pada tahun sebelum ini.

"Pada penghujung kempen tahun lalu, Bank Rakyat telah mencapai peningkatan keuntungan sebanyak RM2.4 juta dalam tempoh empat bulan sejak ia dilancarkan yang menyaksikan penyertaan seramai 240,000 pelanggan.

"Kempen ini dilancarkan bagi mempromosikan perkhidmatan Ar-Rahnu kepada masyarakat serta mendidik mereka bahawa emas merupakan satu aset yang boleh dilaburkan untuk melonjakkan ekonomi individu dan berupaya untuk menjana ekonomi negara,” menurut kenyataan.

Jelasnya, masyarakat di Malaysia sudah mula menyedari kelebihan perkhidmatan Ar-Rahnu.

Ia bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan masalah keperluan aliran tunai segera malah boleh menjadi alternatif pembiayaan yang mudah untuk diproses terutamanya kepada usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu mengenai kempen berkenaan, Bank Rakyat mensasarkan pertumbuhan pengeluaran pembiayaan Ar-Rahnu sebanyak 20 peratus dan pertambahan pelanggan sebanyak dua peratus hingga lima peratus pada penghujung kempen iaitu pada November 2020.

Pemenang hadiah utama Kempen Emas 2 Kilo akan memenangi 1kg emas yang akan diumumkan selepas kempen berakhir.

Hadiah lain yang ditawarkan termasuklah 500 gram, 250 gram dan 10 gram emas.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian tele-Rakyat di 1300-80-5454 atau kunjungi laman web www.bankrakyat.com.my atau laman media sosial rasmi Bank Rakyat @mybankrakyat (Facebook, Instagram dan Twitter).

Advertisement