Anda di sini

Rogol kekasih bawah umur, buruh binaan dipenjara sembilan tahun

Advertisement
Tertuduh diiringi polis di pekarangan mahkamah hari ini.
Tertuduh diiringi polis di pekarangan mahkamah hari ini.

KUCHING: Seorang buruh binaan warga Indonesia dipenjara sembilan tahun oleh Mahkamah Khas Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merogol teman wanita bawah umur.

Hakim Jason Juga turut mengenakan dua sebatan terhadap tertuduh, 30, selain mengarahkan dia menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 13 Jun lalu.

"Tertuduh diperintahkan untuk menjalani kaunseling pemulihan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. 

"Dalam pada itu, tertuduh juga akan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang setelah menjalani hukuman," ujar Jason semasa menjatuhkan hukum. 

Tertuduh yang berasal dari Meliau, Pontianak, Sangau Indonesia, didakwa merogol teman wanitanya yang berusia 14 tahun di sebuah rumah pekerja di Taman Zoriah di sini, pada Oktober 2019. 

Menurut fakta kes, seorang wanita (pengadu) yang bekerja di sebuah klinik di Jalan Pinang Jawa, di sini, menerima pesakit wanita (mangsa) yang sedang sarat mengandung tujuh bulan pada 10 Jun lalu.

Setelah menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa, pengadu mendapati mangsa mempunyai hubungan secara rahsia dengan teman lelakinya yang bekerja di sebuah tapak pembinaan berhampiran tempat dia menetap dan kini mengandungkan anaknya.

Justeru, pengadu membuat laporan polis dan tertuduh kemudiannya ditangkap.

Lelaki dipenjara sembilan tahun kerana merogol.
Lelaki dipenjara sembilan tahun kerana merogol.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki berusia 22 tahun turut dipenjara sembilan tahun dan dikenakan dua sebatan selepas mengaku bersalah merogol teman wanitanya yang berusia 15 tahun, sehingga melahirkan bayi.

Hakim Jason mengarahkan hukuman penjara dijalankan bermula hari ini, selain memerintahkan tertuduh untuk menjalani kaunseling pemulihan dan juga menjalani pengawasan polis seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 26 dan Seksyen 27 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pemuda yang telah menjalinkan hubungan dengan mangsa sejak Mac 2017 itu didakwa merogol kekasihnya, pada April 2019 di rumahnya di Taman Riverview, Jalan Daya, di sini.

Kedua-dua tertuduh dalam kes ini didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon agar hukuman setimpal dijatuhkan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan kesalahan seksual yang melibatkan mangsa bawah umur, semakin kerap terjadi pada masa kini.

“Peristiwa ini juga akan mempengaruhi mangsa secara emosi dan psikologi untuk seumur hidup.

“Justeru, pihak pendakwaan memohon agar hukuman setimpal dijatuhkan agar tertuduh menyesal dan tidak akan mengulangi perbuatan tersebut,” ujar Nurfadzlin semasa prosiding. 

Kedua-dua tertuduh dalam kes ini tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement