Anda di sini

Pengebumian datuk bandar Seoul dikecam

Advertisement
 Ahli keluarga membawa potret Park semasa upacara pengebumiannya di Dewan Bandaraya Seoul di Seoul, semalam. — Gambar AFP
DIRATAPI: Ahli keluarga membawa potret Park semasa upacara pengebumiannya di Dewan Bandaraya Seoul di Seoul, semalam. — Gambar AFP

SEOUL: Majlis pengebumian bagi datuk bandar Seoul Park Won-soon, yang telah membunuh diri selepas dituduh atas pencabulan seksual, diteruskan secara besar-besaran semalam di sebalik petisyen perbandaran yang ditandatangani setengah juta orang.

Bekas peguam hak asasi manusia Park merupakan seorang pegawai berpengaruh dalam parti pemerintah Demokratik dan menguruskan bandar utama Korea Selatan yang luas itu, kediaman hampir satu perlima populasi negara, selama hampir sedekad.

Dia ditemui meninggal dunia di atas gunung pada Jumaat lepas, sehari selepas bekas setiausahanya memfailkan aduan polis terhadapnya yang melibatkan gangguan seksual.

Di sebalik kontroversi mengenai kematiannya, kerajaan Bandar Seoul menganjurkan pengebumian selama lima hari bagi Park, dua hari lebih lama berbanding upacara biasa, yang bermula pada hari kematian serta menyediakan sebuah tempat penghormatan di luar premis Dewan Bandaraya Seoul.

Lebih 20,000 orang datang untuk memberikan penghormatan semasa tempoh berkabung, dan ketika upacara semalam anak perempuannya menyatakan: “Saya dapat merasakan kegembiraan ayah saya ketika saya menemui penduduk seorang demi seorang.”

Namun petisyen dalam laman sesawang presiden membantah upacara tersebut telah mengumpul lebih 500,000 tandatangan.

Park merupakan ahli politik berprofil tinggi yang dikaitkan dalam satu kes gangguan seksual di Korea Selatan, masyarakat yang sangat menerapkan fahaman patriaki yang melihat pergerakan #MeToo sepanjang dua tahun lepas.

Presiden Moon Jae-in menghantar kalungan bunga ke upacara pengebumian dan ketua kakitangannya menghadiri sendiri upacara itu, begitu juga beberapa pegawai kanan parti Demokratik.

Namun begitu pemangku ketua parti pembangkang konservatif utama United Future mahupun ketua parti haluan tengah People Ahn Cheol-soo tidak hadir.

“Saya memutuskan untuk tidak memberikan penghormatan terakhir,” tulis Ahn dalam laman Facebook.

Kira-kira 100 orang menghadiri upacara tersebut di mana jumlah dihadkan disebabkan oleh pandemik koronavirus, pada hari terakhir bagi pengebumian.

Para penyokong menangis ketika anggota keluarga tiba di Dewan Bandaraya membawa potret beliau.

Selepas itu mayat Park akan dibakar dan dibawa ke kampung halamannya di wilayah Gyeongsang Selatan.

Kematian Park bermakna siasatan mengenai kes secara automatik akan ditutup dan para penyokongnya cuba untuk mengenal pasti wanita yang membuat aduan itu dan menyalahkannya atas kematian Park.

“Satu persoalan timbul sama ada satu pengebumian bandar merupakan satu langkah yang sepatutnya,” menurut satu kenyataan yang dipaparkan dalam Korea Herald.

Upacara rasmi memberikan impresi bahawa Park layak untuk penghormatan dan kelihatan tidak bersalah, tambahnya lagi.

Pergerakan #MeToo di Korea Selatan telah menjatuhkan beberapa lelaki terkenal dalam pelbagai bidang, dengan pelaku termasuk seorang bekas gabenor wilayah yang turut bertanding bagi jawatan presiden pada 2017.

Ahli politik itu telah dipenjarakan pada tahun lepas bagi hubungan seksual dengan menyalahgunakan kuasa selepas pembantu wanitanya menuduhnya sudah berkali-kali merogolnya. — AFP

Advertisement