Anda di sini

Atlet silat wanita Miri dipilih sertai pasukan kebangsaan

Advertisement
 Ismawi (empat kiri), Madon (kanan) dan Fadzil (dua kiri) memberi sokongan moral kepada Zulaika (tiga kiri) serta ibu bapanya di Lapangan Terbang Miri kelmarin.
MISI PERJUANGAN: Ismawi (empat kiri), Madon (kanan) dan Fadzil (dua kiri) memberi sokongan moral kepada Zulaika (tiga kiri) serta ibu bapanya di Lapangan Terbang Miri kelmarin.

MIRI: Seorang lagi atlet silat wanita Sukan Malaysia (SUKMA) dari Miri dipilih menyertai pasukan kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Silat Dunia Ke-19 dijadualkan berlangsung di Kuching pada Mac tahun depan.

Naib Presiden II Rumpun Silat Sarawak (RSS), Ismawi Kedri berkata Zulaika Razman (Puteri Kelas C) akan bergabung dengan Ester Tera Empi (Puteri Kelas F) yang direkrut lebih awal untuk pasukan kebangsaan tahun lalu.

“RRS ternyata sangat berbangga kerana Zulaika adalah atlet wanita terbaharu dari negeri ini terpilih menyertai pasukan kebangsaan selepas Ester.

“Pemilihan mereka dalam pasukan kebangsaan membuktikan RSS Wilayah Miri mampu menghasilkan atlet-atlet silat berkualiti bukan hanya untuk negeri tetapi juga untuk negara,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Ismawi berkata, kedua-duanya akan menjalani latihan intensif dengan pusat silat di bawah Persekutuan Silat Nasional Malaysia (PESAKA) di Bukit Jalil.

Walaupun mereka berdua masih baharu dalam bidang sukan itu, namun beliau berharap atlet-atlet terbabit memberikan yang terbaik sepanjang kejuaraan itu.

Mengenai acara dunia, beliau menjelaskan kejuaraan pada mulanya diadakan pada Julai tahun ini tetapi ditunda ke tahun depan kerana pandemik COVID-19.

Zulaika melapor diri di pusat latihan silat di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Selain ibu bapanya, Ismawi bersama Ketua RSS Wilayah Miri, Madon Sulong dan pelatih silat negeri, Fadzil Jamain juga hadir di Lapangan Terbang Miri untuk menghantar Zulaika berlepas ke ibu negara kelmarin.

Advertisement