Anda di sini

Thailand mulakan ujian vaksin COVID-19 ke atas manusia pada Oktober

Advertisement
 
Grafik hiasan
Grafik hiasan

BANGKOK: Penyelidik Thailand merancang untuk memulakan ujian klinikal vaksin COVID-19 pada Oktober selepas ujian terhadap monyet menghasilkan antibodi tahap tinggi terhadap virus tersebut, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Kiat Ruxrungtham, Pengarah Program Pengembangan Vaksin Universiti Chulalongkorn di Bangkok berkata selepas percubaan terhadap monyet memberikan hasil memberangsangkan, langkah seterusnya adalah menghasilkan 10,000 dos untuk ujian ke atas manusia.

Vaksin paling berpotensi, yang dibangunkan penyelidik Thailand akan dihantar ke  Amerika Syarikat dan Kanada bagi tujuan pengeluaran.

Menurut rancangan, percubaan pertama ke atas manusia, melibatkan 75 sukarelawan akan bermula sebelum akhir tahun ini, katanya.

Sukarelawan itu akan dipisahkan kepada dua, kumpulan pertama untuk individu berusia 18 hingga 60 tahun dan kumpulan kedua berumur 60 hingga 80 tahun.

Fasa kedua akan mendaftarkan 500-1,000 sukarelawan pada September. Sekiranya semua berjalan lancar, vaksin akan boleh digunakan pada pertengahan tahun depan, tambahnya. - Bernama 

Advertisement