Anda di sini

Pewujudan JPKKP hanya pecah belah masyarakat kampung

Advertisement
FELIX
FELIX

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) menyifatkan pewujudan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Sabah akan memecahbelahkan penyatuan masyarakat di setiap kampung.

Ketua Pemuda UPKO Pusat Felix Joseph Saang berkata, ini kerana segala bentuk bantuan dan pengurusan terpaksa terbahagi kepada JPKKP dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

"Kerajaan Persekutuan harus menghormati kuasa autonomi kerajaan negeri Sabah termasuk dari segi pelantikan pentadbiran kampung.

“Mungkin sudah tiba masanya kerajaan persekutuan ketika ini seharusnya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembangunan ekonomi negara selepas terencat seketika akibat penularan pandemik COVID-19 sebelum ini.

“Oleh itu, Pemuda UPKO berharap kerajaan Persekutuan menghormati dan memberikan kepercayaan terhadap institusi MPKK yang ada di setiap kampung ketika ini.

“Kurangkan gerakan-gerakan pecah-belah, sebaliknya cari jalan penyelesaian terhadap masalah ekonomi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Felix turut menyokong kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick bahawa tiada keperluan mewujudkan JPKKP di negeri ini.

Beliau berkata, ini kerana MPKK sedia ada sudah cukup baik dan tiada keperluan dijenamakan semula kepada JPKKP.

“Pentadbiran kampung sedia ada di Sabah sudah cukup baik dan tidak perlu dijenamakan semula untuk penambahbaikan," katanya.

CARLYE
CARLYE

Sementara itu, Setiausaha Politik Kementerian Luar Bandar Carlye Lajimin menyifatkan JPKKP sebagai 'kenderaan' yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melanggar hak autonomi Kerajaan Negeri Sabah dan secara langsung menafikan kebolehan dan keupayaan pentadbiran pemimpin-pemimpin tempatan.

“Ini amat menyedihkan...justeru kita berharap agar rakyat Sabah teruskan solidariti perpaduan dan kebersatuan bersama Kerajan Negeri dalam menghadapi apa saja bentuk tekanan dari Kerajaan Persekutuan,” katanya.

 

Advertisement