Anda di sini

Mali bubar Mahkamah Perlembagaan

Advertisement
 Penunjuk perasaan menghadang jalan raya ke Jambatan Perwira Bamako di Bamako, kelmarin. — Gambar AFP
GANAS: Penunjuk perasaan menghadang jalan raya ke Jambatan Perwira Bamako di Bamako, kelmarin. — Gambar AFP

BAMAKO: Presiden Mali mengumumkan pembubaran Mahkamah Perlembagaan dalam usaha untuk meredakan rusuhan besar-besaran yang berlaku di negara Afrika itu, tatkala lebih ramai ketua pembangkang ditangkap.

Mahkamah tersebut telah menjadi pusat kontroversi sejak ia membatalkan keputusan sementara pilihan raya parlimen pada awal tahun ini, seterusnya mencetuskan protes di beberapa bandar yang pada Jumaat lepas bertukar ganas.

Pertelingkahan berlaku lagi di ibu negara Bamako kelmarin apabila penunjuk perasaan yang marah mengenai konflik militan yang sudah sekian lama berlaku, masalah ekonomi dan rasuah dalam kerajaan, turut menuntut perletakan jawatan President Ibrahim Boubacar Keita.

Pihak berkuasa berkata, empat orang maut dalam rusuhan tersebut manakala enam tokoh pembangkang telah ditahan dalam tempoh dua hari selepas kerajaan mengambil tindakan ke atas perikatan yang dikenali sebagai Pergerakan Jun 5.

Keita berkata, beliau memansuhkan lesen semua anggota mahkamah perlembagaan supaya hakim baharu dapat dilantik bermula minggu depan.

“Mahkamah yang diperbaharui ini dapat dengan cepat membantu kita mencari penyelesaian kepada pertikaian yang timbul daripada pilihan raya parlimen,” katanya dalam satu ucapan televisyen petang.

Selepas pilihan raya parlimen yang sekian lama tertangguh pada Mac lalu yang dimenangi parti Keita, mahkamah membatalkan keputusan sementara bagi kira-kira 30 kerusi, satu tindakan yang menyaksikan beberpa anggota parti Keita dipilih dan dianggap ramai sebagai pencetus krisis terbaharu.

Presiden berusia 75 tahun itu, yang memegang kuasa sejak 2013, mencadangkan pada minggu lepas bahawa hakim baharu Mahkamah Perlembagaan boleh mempertimbangkan semula keputusan itu.

Ketika Perdana Menteri Boubou Cisse melawat sebuah hospital di Bamako kelmarin, beliau bercakap mengenai empat kematian dan kira-kira 50 orang yang cedera dalam pertelingkahan dengan pasukan keselamatan pada Jumaat lepas, tetapi keraguan masih ada mengenai jumlah kematian dalam rusuhan terburuk sejak sekian lama.

“Presiden dan saya masih terbuka kepada dialog,” kata Cisse, yang menambah beliau akan dengan cepat membentuk kerajan yang bersedia untuk menangani masalah negara.

Tetapi pada waktu beliau berucap, polis Mali menangkap Choguel Maiga dan Mountaga Tall, kedua-duanya pemimpin dalam Pergerakan Jun 5, kata jurucakap kumpulan.

Lewat kelmarin, pasukan keselamatan muncul di rumah seorang lagi ketua pembangkang, Sy Kadiatou Sow, tetapi tidak dapat menjumpainya, kata seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali.

Dua ketua pembangkang lain ditangkap lewat Jumaat lepas, kata perikatan itu, dan dua tokoh yang dianggap sebagai tonggak pergerakan turut ditangkap.

Diketuai imam berpe-ngaruh Mahmoud Dicko, pergerakan tersebut menyalurkan kekecewaan mendalam para penduduk di negara Afrika Barat itu.

Protes pada Jumaat lepas merupakan demonstrasi ketiga seumpamanya dalam tempoh tidak sampai dua bulan, seterusnya meningkatkan lagi tekanan dengan signifikan ke atas presiden.

Sementara sekatan jalan yang terbakar muncul di sekitar Bamako kelmarin, suasana ternyata tegang di sekitar masjid di mana Dicko berkhutbah, kerana penyokongnya dipercayai khuatir imam itu akan ditangkap.

Pasukan keselamatan menggunakan peluru hidup apabila rusuhan meletus, mencederakan beberapa lelaki dengan serius, menurut rakan kenalan Dicko yang menerbitkan gambar kecederaan.

Keita memberi amaran kelmarin bahawa keselamatan akan dipelihara tanpa sebarang tanda kelemahan dan pada waktu yang sama membayangkan kesediaannya untuk melakukan segalanya yang termampu untuk menenangkan keadaan.

Sementara itu perikatan menyeru kepada orang ramai untuk meneruskan dan mempertingkatkan lagi gerakan ini sehingga matlamat dicapai, iaitu perletakan jawatan presiden.

Seruan pembangkang untuk ingkar termasuk tidak membayar denda dan menyekat pintu masuk ke bangunan kerajaan.

Penunjuk perasaan menyerang parlimen dan menggeledah stesen televisyen negara pada Jumaat lepas, dan hanya bersurai apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan.

Tahap keganasan ini jarang sekali berlaku di Bamako, yang amnya tidak menyaksikan pergolakan yang rutin di beberapa kawasan lain di Mali.

Negara itu menghadapi masalah untuk mengekang pemberontakan Islam yang mula muncul di utara pada 2012, sebelum ia menular ke bahagian tengah negara dan ke negara jiran Burkina Faso dan Niger.

Ribuan askar dan orang awam sudah terkorban dan ratusan ribu lagi terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka. — AFP

Advertisement