Anda di sini

Legenda bola sepak England, Jack Charlton meninggal dunia

Advertisement
JACK CHARLTON
JACK CHARLTON

LONDON: Jack Charlton, seorang anggota pasukan England yang memenangi Piala Dunia 1966 dan seterusnya menjadi wira kultus sebagai pengurus Republik Ireland, sudah meninggal dunia pada usia 85 tahun, keluarganya mengumumkan kelmarin.

Charlton – abang kepada seorang lagi anggota pasukan yang memenangi Piala Dunia, Bobby – juga merupakan anggota yang amat penting dalam pasukan Leeds yang memenangi kejuaraan Liga 1969 dan Piala FA 1972.

Badan bola sepak England, Persatuan Bola Sepak (FA), berkata mereka ‘amat sedih’ dengan berita itu.

Geoff Hurst, wira hatrik dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1966 menentang Jerman Barat, memberi sanjungan kepada bekas rakannya dalam pasukan England itu.

“Jack merupakan jenis pemain dan orang yang anda perlukan dalam pasukan untuk memenangi Piala Dunia,” ciap Hurst.

“Dia adalah seorang karektor yang hebat dan mudah disayangi dan dia pasti akan amat dirindui. Dunia bola sepak dan dunia di luar sukan bola sepak sudah kehilangan salah seorang legenda. RIP kawan lamaku.”

Liga Perdana Inggeris berkata pemain akan memakai lingkaran lengan hitam dan bertafakur selama seminit sebelum sepak mula sewaktu perlawanan pada hujung minggu ini sebagai tanda penghormatan.

Charlton menikmati waktu yang cemerlang sebagai pengurus Ireland dengan membimbing mereka ke beberapa kejohanan besar, termasuk kejayaan yang tidak dapat dilupakan untuk sampai ke peringkat suku akhir Piala Dunia 1990.

Pencapaiannya bersama Ireland begitu besar sekali sehinggakan dia disampaikan dengan anugerah paling cemerlang Republik itu, kerakyatan kehormatan Ireland, pada 1996.

“Dia adalah tokoh yang ikonik di dalam dan di luar padang, di England dan Ireland,” kata Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin.

Keluarga Charlton terdahulu mengeluarkan satu kenyataan untuk mengumumkan pemergiannya.

“Jack meninggal dunia dengan aman pada Jumaat, 10 Julai, di usia 85 tahun. Dia berada di rumah di Northumberland, bersama keluarganya di sisinya,” satu kenyataan keluarga menyebut.

Charlon yang bermain mewakili negara sebanyak 35 kali menjadi pengurus pada peringkat kelab bersama Middlesbrough, Sheffield Wednesday dan Newcastle.

Tetapi Charlton akan diingati kerana mengubah Ireland daripada pasukan belasahan kepada pasukan antarabangsa yang dihormati.  — AFP

Advertisement