Anda di sini

EPL: Saingan carta sengit

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi Liga Perdana Inggeris di antara Sheffield United dan Chelsea di Bramall Lane, Sheffield. — Gambar AFP
PENUH KEJUTAN: Sebahagian daripada babak-babak aksi Liga Perdana Inggeris di antara Sheffield United dan Chelsea di Bramall Lane, Sheffield. — Gambar AFP

LONDON: Sheffield United memberi tamparan besar kepada peluang Chelsea untuk menamatkan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kelompok empat pasukan teratas apabila mereka menewaskan pasukan The Blues 3-0 di Bramall Lane, manakala siri kemenangan Liverpool yang panjang di Anfield berakhir dalam keputusan seri dengan Burnley kelmarin.

Manchester City pula menjamin kedudukan mereka dalam kelompok empat pasukan teratas bagi musim ke-10 berturut-turut dengan Raheem Sterling yang menjaringkan hatrik dalam kemenangan 5-0 di Brighton.

Bagaimanapun, mereka perlu menunggu keputusan rayuan mereka pada hari ini (Isnin) terhadap penggantungan dua musim daripada pertandingan Eropah untuk melihat sama ada mereka akan bermain bola sepak dalam Liga Juara-Juara ataupun tidak pada musim akan datang.

Norwich akan bermain dalam Liga Kejuaraan selepas empat gol jaringan Michail Antonio mengesahkan relegasi pasukan The Canaries dalam kemenangan 4-0 bagi West Ham yang harus menjamin status pasukan The Hammers dalam liga utama untuk setahun lagi.

Sheffield United sudah sekian lama memperolehi pencapaian itu pada musim pertama mereka dalam EPL selama 13 tahun dan pasukan The Blades sendiri masih mengintai kelompok empat pasukan teratas apabila mereka mengurangkan jurang kepada lima mata di belakang kelab di tempat keempat, Leicester.

Chelsea kekal di tempat ketiga tetapi dapat menamatkan hujung minggu ini di tempat kelima jika Leicester dan Manchester United masing-masing menewaskan Bournemouth dan Southampton.

Pasukan The Blues sudah menguatkan jentera serangan mereka untuk musim akan datang dengan pembelian Timo Werner dan Hakim Ziyech, tetapi Frank Lampard sekali lagi ditunjukkan bahawa pasukannya amat perlu memperbaiki barisan pertahanan.

Buat pertama kali sejak Januari 2018, Liverpool gagal untuk memenangi perlawanan EPL di Anfield apabila persembahan yang memberi inspirasi oleh Nick Pope sebagai penjaga gol Burnley dan gol penyamaan Jay Rodriguez untuk mengikat tandukan Andy Robertson pada separuh masa pertama memberi satu mata kepada Burnley.

Para pemain Jurgen Klopp sekarang perlu memenangi tiga perlawanan mereka yang berbaki untuk mengatasi rekod 100 mata dalam satu musim EPL yang dicipta oleh City dua tahun lalu.

“Kami membiarkan pintu terbuka, kami tidak menutupnya. Kami sepatutnya menjaringkan dua, tiga, empat gol sekurang-kurangnya,” kata Klopp.

City menjaringkan empat gol atau lebih buat kali keempat dalam enam perlawanan liga di Brighton.

Di Carrow Road, kekalahan ketujuh berturut-turut dalam liga bermakna Norwich turun ke liga bawah selepas persembahan kental Antonio merangsang usaha West Ham sendiri untuk terus bermain dalam liga utama.

“Kami mahu mengatasi cabaran sekali lagi tetapi apabila keadaan reda, keputusannya adalah lebih kurang apa yang kami jangkakan. Ia tidak merampas apa-apa daripada hakikat bahwa kami kecewa,” kata pengurus Daniel Farke.

Kemenangan kedua West Ham dalam empat perlawanan membuka jurang enam mata ke atas kelompok tiga pasukan tercorot.

Watford turut naik untuk mencerahkan peluang mereka bermain lagi dalam liga utama apabila dua tendangan penalti Troy Deeny menewaskan Newcastle 2-1 untuk mengutip 34 mata yang sama dengan West Ham. — AFP

Advertisement