Anda di sini

Dua asrama pelajar SMK Tun Fuad Stephens Kiulu akan dinaik taraf

Advertisement
 Madius (kiri) meninjau keadaan asrama yang sudah tidak selamat diduduki.
TINJAU: Madius (kiri) meninjau keadaan asrama yang sudah tidak selamat diduduki.

TUARAN: Ibu bapa kepada hampir 150 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, di Kiulu, kini boleh menarik nafas lega selepas dua bangunan bagi menempatkan pelajar dari sekolah itu akan dinaik taraf.

Perkara itu diumumkan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika membuat lawatan ke sekolah berkenaan kelmarin, selepas beliau menerima aduan daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

Baru-baru ini, asrama sekolah berkenaan telah diisytiharkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berikutan keretakan yang berlaku di beberapa bahagian dalam serta luar bangunan itu.

Bangunan yang boleh memuatkan 350 pelajar berkenaan dibina pada 1981 dan SMK Tun Fuad Stephens juga adalah satu-satunya sekolah menengah yang ada di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.

Sekolah berkenaan juga kini menempatkan sejumlah 1,250 pelajar.
 
Pengerusi PIBG sekolah itu Koolin Kookkiong berkata, daripada 313 pelajar, seramai 142 masih belum mendapat kemudahan asrama dengan sesi persekolahan bakal bermula pada 15 Julai.

“Mereka adalah murid-murid yang memerlukan asrama kerana tinggal di kampung yang jauh dari sekolah, ada yang sejauh hingga 30 kilometer,” katanya.

Sementara itu, selain bersetuju memberikan peruntukan bagi menaik taraf dua bangunan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh memuatkan lebih 100 pelajar asrama, Madius juga bersetuju membantu 142 lagi pelajar yang belum mendapat penginapan atau keperluan bas pengangkutan percuma.

“Saya harap selepas ini beban ibu bapa dapat diringankan dan para pelajar yang terjejas dapat datang ke sekolah tanpa sebarang masalah,” katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement