Anda di sini

Doktor Perancis seru peraturan tentang pelitup muka diperketat

Advertisement
 Orang ramai beredar selepas menonton perlawanan persahabatan di Stadium Michel d’Ornano di bandar barat laut Caen, kelmarin. — Gambar AFP
LEBIH BAIK WASPADA: Orang ramai beredar selepas menonton perlawanan persahabatan di Stadium Michel d’Ornano di bandar barat laut Caen, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Sekumpulan 14 doktor di Perancis kelmarin menyeru bagi peraturan yang lebih tegas mengenai pemakaian pelitup muka, untuk memastikan tiada peningkatan semula koronavirus COVID-19.

Dalam surat terbuka yang disiarkan akhbar harian Le Parisien-Aujourd’hui, kumpulan doktor dari pelbagai peringkat disiplin itu menyatakan rakyat mula mengabaikan arahan asas penjarakan sosial.

“Keadaan akan menjadi sangat teruk sekiranya cara efektif ini tidak digunakan,” tambah mereka.

Mereka mencadangkan pemakaian pelitup muka secara wajib di dalam bangunan umum, penjarakan sosial semampu boleh dan membasuh tangan dengan kerap.

Ketika memaklumkan pelitup muka mungkin agak tidak selesa dipakai, mereka menegaskan tentang kepentingannya.

“Memakai pelitup muka bukan sahaja dapat melindungi diri anda, malah juga boleh mengelak penyebaran virus, selama mana semua orang menggunakannya!” tulis mereka.

Mesej mereka sebagai menyokong rayuan Jumaat lepas oleh Perdana Menteri Jean Castex dan Menteri Kesihatan Olivier Veran, ketika gelombang pertama bagi pelancong bersedia untuk datang berkunjung hujung minggu ini.

Mereka menyeru kepada orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga dan meneruskan pemakaian pelitup muka bagi mengelakkan gelombang kedua koronavirus COVID-19.

Pihak berkuasa kesihatan Perancis menyatakan Jumaat lepas bahawa tahap jangkitan mula meningkat walaupun buat masa sekarang, jumlahnya masih rendah. — AFP

Advertisement