Anda di sini

Bekas KSU KPM nafi jadikan Rosmah sebagai kambing hitam 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor, berhubung pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di S

Alias hadir di Mahkamah Tinggi hari ini untuk beri keterangan pada perbicaraan kes rasuah Rosmah berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak. - Gambar Bernama
Alias hadir di Mahkamah Tinggi hari ini untuk beri keterangan pada perbicaraan kes rasuah Rosmah berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak. - Gambar Bernama

arawak, didakwa menjadikan isteri bekas perdana menteri itu sebagai kambing hitam, dalam kes berkenaan.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Rosmah, mencadangkan kepada bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Seri Alias Ahmad, bahawa saksi itu berbuat demikian untuk 'menyelamatkan dirinya' daripada dikaitkan dengan penipuan kontrak projek solar berkenaan, oleh Jepak Holdings.

“Saya cadangkan keterangan kamu hanyalah satu kenyataan menyelamatkan diri, kamu hanya jadikan anak guam saya sebagai kambing hitam sahaja,” kata Akberdin dan Alias menjawab, “tidak setuju.”

Saksi pendakwaan ke-12 itu memberi keterangan pada hari ke-15 perbicaraan kes Rosmah, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel, bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Dalam keterangannya sebelum ini, Alias memberitahu mahkamah bahawa, Rosmah ada memintanya untuk mempercepat proses menandatangani kontrak projek solar hibrid di Sarawak, selain bertanyakan kepada beliau perkembangan bayaran pendahuluan kepada Jepak.

Akberdin ketika menyoal balas Alias, 62, juga dilihat beberapa kali 'menekan' saksi itu, yang memegang jawatan KSU dari 5 September 2016 sehingga bersara pada 22 Mei 2018, termasuk mendakwa Alias dan bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, bersekongkol dengan Jepak.

Akberdin: Saya cadangkan, sebenarnya kamu dan Mahdzir bersekongkol dengan Jepak, sebab itu kamu tidak ambil tindakan terhadap Jepak yang mengaku telah melakukan pemalsuan dan penipuan, terhadap terma-terma kontrak.

Alias: Tidak setuju, ini satu tuduhan terhadap saya. KPM telah beri tiga cadangan untuk menyelesaikan isu tersebut, iaitu mengadakan siasatan dalaman, membuat pindaan terhadap perjanjian kontrak, dan membuat laporan polis.

Akberdin: Ada buat laporan polis?

Alias: Saya dimaklumkan ketiga-tiga cadangan tersebut tidak dibuat, kerana saya dapat tahu fail-fail berkaitan diambil oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), mungkin sebab itu tidak dilaksanakan.

Akberdin: SPRM ketika itu tidak masuk lagi (buat siasatan), sebenarnya kamu tidak bagi KPM buat laporan polis. Minta maaf saya katakan kamu bertanggungjawab halang pegawai kamu buat laporan polis.

Alias: Tidak setuju, itu tuduhan berat buat saya.

Akberdin kemudian dilihat cuba membuktikan 'hubungan rapat' Alias dan Saidi kepada mahkamah, apabila mengemukakan dua keping gambar Alias bersama Saidi dan Mahdzir, di sebuah majlis perkahwinan.

Peguam itu seterusnya bertanyakan kepada Alias, sama ada beliau pernah menghadiri majlis perkahwinan anak Saidi dan saksi itu menjawab tidak pernah.

“Gambar itu sebenarnya adalah ketika majlis perkahwinan anak perempuan saya, yang dihadiri oleh Mahdzir dan Saidi. Saya tidak jemput dia (Saidi) tetapi dia hadir bersama menteri (Mahdzir),” kata Alias.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Alias berkata, selama 37 tahun beliau berkhidmat di kementerian itu, projek solar hibrid di Sarawak merupakan satu-satunya projek yang telah melanggar garis panduan, ditetapkan oleh perbendaharaan.

Ahmad Akram: Sebagai pegawai pengawal ketika itu, kenapa kamu membenarkan pelanggaran tersebut berlaku? 

Alias: Terdapat kelulusan daripada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak melalui surat bertarikh 7 November 2016, supaya menguruskan dengan segera pemberian projek kepada Jepak, proses perolehan projek, dan terdapat permintaan daripada Datin Seri Rosmah Mansor, supaya mempercepat proses menandatangani kontrak projek solar hibrid di Sarawak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. - Bernama 

Advertisement