Anda di sini

'Coach Siva' tinggalkan Sarawak, mahu tumpu pada keluarga 

Advertisement
 
 

KUCHING: Ketua jurulatih pasukan hoki Sarawak, C. Sivasubramaniam (gambar) mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan bimbingannya kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga buat masa ini sebelum mempertimbangkan untuk kembali semula ke kancah sukan hoki.

Jurulatih berusia 69 tahun dari Kedah itu memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya bersama Persatuan Hoki Sarawak (SHA) yang tamat pada 30 Jun lepas, setelah membimbing pasukan tersebut selama 14 tahun walaupun pernah cuba dipikat oleh negeri-negeri lain dalam tempoh berkenaan.

"Sememangnya saya berasa sedih untuk meninggalkan Sarawak tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain demi memenuhi komitmen keluarga saya pada masa ini. Mungkin selepas enam bulan saya akan fikirkan semula langkah yang berikutnya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Lebih mesra dengan panggilan 'Coach Siva' dalam kalangan anak buahnya, beliau mula mengendalikan pasukan hoki Sarawak pada 2006 dan pada tahun sama, pasukan hoki wanita negeri itu berjaya meraih pingat emas di temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Kedah.

Sepanjang perkhidmatan beliau, kira-kira 20 pemain hoki wanita Sarawak dipanggil menyertai skuad kebangsaan ke beberapa kejohanan antarabangsa, bagaimanapun kebanyakan mereka kemudiannya menarik diri atas alasan peribadi.

Antaranya ialah penjaring gol prolifik Fazilla Sylvester Silin yang telah membuat 80 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak pertama kali beraksi di peringkat antarabangsa pada temasya Sukan SEA Korat, Thailand pada 2007.

Siva memulakan pembabitan dalam sukan hoki sebagai pemain di negeri asalnya pada 1969 dan aksi beliau di padang telah menarik perhatian jurulatih Selangor ketika itu, C. Paramalingam yang kemudiannya membawa beliau menyertai pasukan negeri berkenaan setahun kemudian.

Walaupun tidak pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan, kecemerlangan Siva adalah dalam bidang kejurulatihan yang menyaksikan beliau melatih dua pasukan peringkat umur di Selangor sebelum membimbing Perak muncul juara hoki Sukma  Perak 1994. 

Semasa mengendalikan pasukan hoki wanita kebangsaan, beliau membimbing pasukan itu ke dua edisi Sukan SEA iaitu pada 1993 dan 1995, Piala Remaja Asia, Kejohanan Pra Piala Dunia, Piala KT, Sukan Komanwel dan perlawanan ujian menentang pasukan New Zealand. 

Sementara itu, presiden SHA, Datin Mary Sadiah Zainuddin berkata Siva telah menyatakan hasrat  untuk meninggalkan persatuan tersebut sejak tahun lepas tetapi mereka berjaya memujuknya untuk kekal sehingga Sukma yang sepatutnya berlangsung tahun ini.

"Walaupun Sukma telah ditunda ke tahun depan berikutan penularan pandemik COVID-19, namun disebabkan komitmen peribadi Coach Siva yang beliau tidak dapat tangguhkan lagi, kami terpaksa menerima keputusan beliau," kata Mary Sadiah.

Menurutnya, sumbangan Siva kepada hoki negeri Sarawak adalah terlalu besar sehinggakan sanggup memperkenalkan sukan itu kepada murid sekolah luar bandar bagi memupuk minat mereka dalam sukan hoki pada usia muda. - Bernama 

Advertisement