Anda di sini

Waspada kemungkinan gelombang kedua COVID-19 - Dr Sim

Advertisement
Danald (tengah) bersama Sim (dua kiri) selepas Majlis Pelancaran Kain Rentang Ucapan 'Terima Kasih' kepada Petugas Barisan Hadapan oleh Komuniti Anglika di Pekarangan Katedral St Thomas, hari ini.
Danald (tiga kiri) bersama Dr Sim (dua kiri) selepas Majlis Pelancaran Kain Rentang Ucapan 'Terima Kasih' kepada Petugas Barisan Hadapan oleh Komuniti Anglika di Pekarangan Katedral St Thomas, hari ini.

KUCHING:Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian menggesa rakyat Sarawak untuk lebih berwaspada sehingga Disember ini kerana kemungkinan gelombang kedua pandemik COVID-19 yang bakal melanda semula.

Berikutan itu, beliau mahu rakyat sentiasa mengamalkan norma baharu dengan tahap kebersihan diri yang lebih optimum selain mematuhi setiap prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

"Kemungkinan (penularan) virus COVID-19 masih berada di sekeliling kita sehingga Disember ini dan rakyat harus sentiasa berwaspada kerana selepas tempoh inkubasi 14 hari baharu simptom penyakit berkenaan kelihatan dengan jelas.

"Semalam (Jumaat) sudah ada dua kes COVID-19 positif dan kita tunggu pengumuman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) nanti, kerana ia amat penting.

"Apa yang terjadi di Melbourne, Australia harus dijadikan panduan supaya kita tidak lalai," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Kain Rentang Ucapan 'Terima Kasih' kepada Petugas Barisan Hadapan oleh Komuniti Anglika di Pekarangan Katedral St Thomas, hari ini.

Menyentuh berkenaan wira yang tidak didendang seperti tukang cuci yang bertugas bersama barisan hadapan lain sewaktu pandemik berlaku, beliau berkata tidak ramai yang mengetahui pengorbanan mereka yang banyak membantu di belakang tabir.

Jasa mereka tambah Dr Sim, perlu dihargai dan dengan pembukaan sektor perniagaan sekarang semua cara norma baharu harus dipatuhi, begitu juga dengan penggunaan pelitup muka dan menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Bahkan ekoran daripada pandemik berkenaan bukan sahaja para peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa tetapi ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun tegas beliau lagi, kerajaan sentiasa komited dan melakukan tindakan pantas dalam menangani kes COVID-19 daripada kian merebak.

Sementara itu, Uskup Gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei Datuk Danald Jute berkata pihaknya menghargai perjuangan barisan hadapan dan mereka yang banyak membantu secara individu tetapi tidak diketahui orang ramai.

Pihaknya sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam mengekang COVID-19 daripada berleluasa dan berharap rakyat akan sentiasa mematuhi setiap garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

"Oleh itu, pihak kita hanya membenarkan umat untuk menyertai sembahyang misa Ahad di Katedral St Thomas seramai 130 orang setakat ini.

"Misa turut dijalankan dengan SOP yang sangat ketat walaupun kerajaan sebenarnya telah membenarkan rumah ibadat untuk beroperasi seperti biasa," ujarnya lagi.

Turut hadir sama Pengarah Unit Hal Ehwal Agama Lain-lain (UNIFOR) Richard Lon.

  • oleh
  • Advertisement