Anda di sini

VAR bantu Man United tetapi membinasakan Tottenham

Advertisement
 Fernandes menyumbangkan satu gol buat pasukannya pada perlawanan itu. — Gambar AFP
MENINGKAT: Fernandes menyumbangkan satu gol buat pasukannya pada perlawanan itu. — Gambar AFP

LONDON: Manchester United (MU) telah diberi bantuan yang kontroversi oleh Video Pembantu Pengadil (VAR) dalam kemenangan 3-0 mereka di Aston Villa, manakala Tottenham mengalami kekecewaan lagi di tangan sistem reviu itu dalam keputusan seri 0-0 mereka di Bournemouth kelmarin.

MU terlalu kuat bagi Villa tetapi gol pembukaan mereka dijaringkan menerusi tendangan penalti meragukan yang menimbulkan kemarahan pasukan tuan rumah.

Pada minit ke-27, pemain tengah MU Bruno Fernandes melanggar Ezri Konsa sebelum dia terjatuh di dalam kawasan penalti walaupun tiada bukti kekasaran oleh pemain pertahanan Villa itu.

Tendangan penalti disahkan selepas reviu VAR dan Fernandes menjaringkan gol kelapannya sejak dia tiba dari Sporting Lisbon pada Januari lalu.

“Segalanya berubah disebabkan oleh keputusan penalti itu. Sentuhan pertama Fernandes adalah di atas bola, sentuhan keduanya adalah di atas tulang kering kaki Konsa,” kata pengurus Villa, Dean Smith.

“Saya dapat faham jika (pengadil) Jon (Moss membuat keputusan yang salah tetapi jika ia dibawa kepada VAR, saya tidak tahu apa yang mereka lihat. Ia adalah keputusan yang memalukan.”

Pengurus MU Ole Gunnar Solskjaer tidak bersetuju.

“Saya berpendapat bahawa ia adalah tendangan penalti. Budak itu menghulurkan kakinya, Fernandes melakukan ‘pusingan Zidane’ yang hebat dan dia terjatuh di atasnya.”

MU menggandakan kelebihan mereka dalam masa tambahan pada separuh masa pertama apabila Mason Greenwood, 18 tahun, menjaringkan gol keempatnya dalam tiga perlawanan dengan satu penyudah yang kencang.

Paul Pogba menyumbat gol ketiga pada minit ke-58, dan pemain tengah Perancis itu menjaringkan gol pertamanya pada musim yang dicemari kecederaan dengan satu rembatan rendah yang cantik dari jarak 18 ela.

MU di tempat kelima mengurangkan jurang kepada satu mata dengan pasukan di tempat keempat Leicester dalam persaingan untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Villa, kedua tercorot, berada empat mata dari zon selamat dan tidak menang dalam enam perlawanan sejak musim liga disambung semula.

VAR menimbulkan kontroversi lagi di Dean Court, dan Tottenham berisiko terlepas peluang untuk menyertai pertandingan di Eropah buat pertama kali sejak musim 2009-10.

Pasukan Jose Mourinho bermain hambar kebanyakan waktu tetapi mungkin tidak puas hati selepas tindakan Josh King yang menolak Harry Kane dalam kawasan penalti tidak dihukum walaupun semakan VAR dibuat pada babak pertama.

Hanya seminggu sahaja selepas Tottenham menjadi mangsa keputusan VAR yang keras dalam kekalahan mereka di Sheffield United, Mourinho merasakan mereka telah menjadi mangsa satu lagi kesilapan buruk oleh pegawai ulang tayang.

“Pengadil sama membuat keputusan VAR terhadap Sheffield United, Michael Oliver. Pendapat adalah penting, ia bukan pendapat saya sahaja. Semua orang tahu bahawa ia adalah tendangan penalti dan apabila saya kata semua orang, maksud saya semua orang,” kata Mourinho.

Hanya setahun sahaja selepas mereka mara ke final Liga Juara-Juara, Tottenham menduduki tempat kesembilan dalam EPL, 10 mata di bawah kelompok empat pasukan teratas dan sama sekali belum pasti akan bermain dalam Liga Europa pada musim akan datang.

Kelab ketiga tercorot Bournemouth menyangka mereka sudah memenangi perlawanan pada waktu tambahan tetapi tendangan akrobatik Callum Wilson jelas terkena tangan King sebelum ia melepasi Hugo Lloris dan kegembiraan mereka dihentikan oleh VAR.

Para pemain Eddie Howe, tanpa sebarang kemenangan dalam sembilan perlawanan, berada tiga mata dari zon selamat dengan hanya empat perlawanan sahaja berbaki untuk mengelak relegasi.

Di Goodison Park, Southampton mengikat Everton dengan keputusan seri 1-1 apabila Danny Ings mencerahkan lagi usahanya untuk memenangi Kasut Emas EPL. — AFP

Advertisement