Anda di sini

Presiden sementara Bolivia umum diuji positif COVID-19

Advertisement
 Gambar fail 12 Jun lepas menunjukkan Anez (kiri) menjalani ujian darah pada                Hari Menderma Darah di istana presiden di La Paz di tengah-tengah penyebaran pandemik              COVID-19. Beliau kelmarin mengumumkan telah diuji sebagai positif COVID-19. — Gambar AFP
DIUJI POSITIF: Gambar fail 12 Jun lepas menunjukkan Anez (kiri) menjalani ujian darah pada Hari Menderma Darah di istana presiden di La Paz di tengah-tengah penyebaran pandemik COVID-19. Beliau kelmarin mengumumkan telah diuji sebagai positif COVID-19. — Gambar AFP

LA PAZ: Presiden sementara Bolivia Jeanine Anez kelmarin mengumumkan beliau telah diuji sebagai positif COVID-19.

“Saya telah didapati sebagai positif COVID-19, saya baik sahaja, saya akan bekerja dalam pengasingan,” kata beliau di Twitter.

Wanita berusia 53 tahun itu menyatakan dalam sebuah video di Twitter bahawa beliau akan kekal dikuarantin selama 14 hari sebelum melakukan satu lagi ujian.

Anez menjadi presiden Amerika Selatan yang kedua dalam masa beberapa hari yang dijangkiti COVID-19, selepas Jair Bolsonaro dari Brazil mengumumkan keputusan positifnya pada Selasa lepas.

Seorang lagi pegawai kerajaan berpangkat tinggi di Amerika Latin yang dijangkiti virus adalah Presiden Dewan Perlembagaan Ve-nezuela Diosdado Cabello, dianggap sebagai orang kedua paling berkuasa di negara selepas Presiden Nicolas Maduro.

Empat anggota kabinet Anez telah diuji sebagai positif pada beberapa hari lepas, sementara Presiden Senat Eva Copa menjalani pengasingan diri pada Rabu lepas sebagai langkah berjaga-jaga.

“Berdasarkan ramai daripada mereka yang diuji sebagai positif sepanjang minggu lepas, saya telah melakukan pemeriksaan dan saya juga didapati sebagai positif,” kata Anez.

Penyakit presiden sementara itu muncul ketika Bolivia bersiap sedia untuk pilihan raya umum dalam tempoh kurang dari dua bulan, walaupun di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anez pada mulanya membantah pilihan raya pada September ini, menyatakan ia seharusnya ditangguhkan untuk “sebulan atau dua bulan lagi” disebabkan oleh pandemik, namun kemudian mengalah.

Ahli politik konservatif itu mengambil alih jawatan presiden sementara pada November selepas bekas ketua sosialis Evo Morales meletakkan jawatan dan meninggalkan negara ekoran ketegangan selama tiga minggu berkenaan dengan pemilihan semulanya yang kontroversi.

Morales telah bertanding bagi penggal keempat berturut-turut walaupun perlembagaan mengehadkan seorang presiden kepada dua mandat berturut-turut.

Walaupun beliau pada mulanya cuba untuk terus memegang kuasa, beliau telah kehilangan sokongan daripada pasukan tentera selepas satu laporan oleh Pertubuhan Negara-Negara Amerika menemui bukti penipuan pilihan raya dalam kemenangannya.

Anez adalah yang ketiga dalam pungutan suara terakhir di belakang Luis Arce – calon parti Morales, Pergerakan untuk Sosialisme – dan bekas presiden Carlos Mesa dari pihak haluan tengah.

“Solidariti dan harapan saya adalah semoga Presiden @JeanineAnez cepat sembuh sepenuhnya,” Mesa, yang menjadi presiden dari tahun 2003 hingga 2005, menulis di Twitter.

Bolivia, sebuah negara dengan seramai 11 juta penduduk, telah merekodkan hampir 43,000 jangkitan COVID-19 dan lebih 1,500 kematian.

Pihak kerajaan menjangka akan terdapat 130,000 kes pada masa pilihan raya yang akan datang nanti.

Lebih 12 juta orang di seluruh dunia telah dijangkiti virus tersebut, dan hampir separuh daripada mereka di Amerika Latin dan Amerika Syarikat. — AFP

Advertisement