Anda di sini

Pilihan Raya Singapura: PAP menang 83 daripada 93 kerusi

Advertisement
 

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) kekal berkuasa dalam pilihan raya umum Singapura semalam, dengan memenangi 83 daripada 93 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Parti itu memperoleh 61.24 peratus undi popular, membuatkan Setiausaha Agungnya Lee Hsien Loong, perdana menteri sementara, menyifatkan kemenangan itu sebagai mandat yang jelas.

Ini merupakan pilihan raya umum kedua berturut-turut menyaksikan PAP meletakkan calon di semua 31 bahagian pilihan raya.

Pada Pilihan Raya Umum 2015, yang menyaksikan semua kerusi dipertanding buat pertama kali selepas kemerdekaan pada 1965, PAP menyapu bersih 83 daripada 89 kerusi, memenangi 69.9 peratus undi popular.

Pilihan Raya Umum ke-18 Singapura itu dan ke-13 sejak kemerdekaan diadakan dalam kebiasaan baharu dengan sekatan dan peraturan jarak selamat di tengah-tengah wabak COVID-19 yang melanda republik itu.

Dalam sidang media maya diadakan pada awal Sabtu, Lee berkata: “Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan hasil pilihan raya kali ini.

“Kami (PAP) memperoleh mandat yang jelas. Undi popular sebanyak 61 peratus. Kami memperoleh 83 kerusi daripada 93 kerusi yang dipertandingkan.

“Keputusan ini mencerminkan sokongan luas bagi PAP. Rakyat Singapura faham apa yang dipertaruhkan dan mengapa kita harus bersatu padu demi kepentingan Singapura.”

Pilihan raya umum ini digelar ‘kritikal’ bagi republik itu dalam berhadapan dengan cabaran COVID-19.

Lee menyeru kepada rakyat Singapura agar mengetepikan perbezaan dan berganding bahu untuk membawa Singapura keluar daripada krisis pandemik ini dengan selamat.

“Cabaran serius yang akan kita hadapi memerlukan tindak balas seluruh negara. Marilah kita melangkah ke hadapan bekerjasama sebagai satu pasukan Singapura demi kehidupan kita, pekerjaan kita, dan masa hadapan kita,” katanya.

Lee turut mengucapkan tahniah kepada Parti Pekerja yang mempertahankan enam kerusi di kawasan pilihan raya perwakilan kumpulan (GRC) Aljunied lima anggota dan kawasan pilihan raya perwakilan tunggal (SMC) Hougang serta menang kerusi baharu di GRC Sengkang empat anggota.

PAP memenangi kesemua empat kerusi baharu SMC.

Seorang calon Bebas dan 11 parti politik termasuk PAP bertanding untuk 17 GRC dan 14 SMC.

Setelah tempoh mengundi tamat, seramai 2,535,565 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka, termasuk 45,772 undi rosak, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Undi berkenaan diperoleh daripada 95.63 peratus daripada 2,651,435 pemilih berdaftar dan agak rendah berbanding angka yang dilaporkan pada 8 malam tadi berdasarkan anggaran penjumlahan yang diterima dari 1,100 pusat mengundi, menurut jabatan itu.

Sehingga 8 malam Jumaat, jabatan itu memberitahu jumlah pengundian lebih tinggi daripada Pilihan Raya Umum 2015 yang menyaksikan 2.3 juta pengundi atau 93.56 peratus daripada pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Tempoh pengundian juga dilanjutkan sehingga 10 malam kerana masih ada pengundi beratur dalam barisan panjang di beberapa pusat mengundi, berikutan langkah pencegahan COVID-19 yang dilaksanakan bagi memastikan pilihan raya diadakan dengan selamat.

Apa yang dapat dilihat, populariti Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang baru ditubuhkan, gagal membawa mana-mana 24 calonnya ke Parlimen, kumpulan kedua terbesar selepas 21 calon Parti Pekerja.

Parti lain iaitu Parti Demokratik Singapura, Parti Suara Rakyat, Parti Perpaduan Nasional, Parti Reformasi, Parti Rakyat Singapura, Parti Kuasa Rakyat, Parti Red Dot United dan Perikatan Demokratik Singapura turut tidak berjaya menempatkan wakil mereka di Parlimen. - Bernama


 

  • oleh
  • Advertisement