Anda di sini

Kompleks sukan bernilai RM7.9 juta di Selangau

Advertisement
 Projek pembinaan kompleks sukan di Selangau.
LAKARAN: Projek pembinaan kompleks sukan di Selangau.

SIBU: Penduduk daerah Selangau bakal menikmati kemudahan sukan dengan pembinaan sebuah kompleks sukan dengan kos RM7.9 juta tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang berkata, kompleks tersebut akan menyediakan kemudahan terbaik dan serba lengkap kepada penduduk di Selangau.

Menurutnya, projek pembinaan kompleks tersebut adalah daripada Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan peruntukan diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa Program Walkabout di pekan Selangau pada Mei 2018.

“Kerja pembinaan kompleks sukan ini akan bermula dalam tempoh dua minggu dari sekarang dengan tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 24 bulan,” jelasnya sambil memberitahu bahawa pembinaan kompleks tersebut sepatutnya bermula Mac lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana pandemik COVID-19.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak cadangan projek pembinaan Kompleks Sukan di Selangau, kelmarin.

 Gira (lapan kanan) semasa melawat tapak cadangan projek kompleks sukan di Selangau kelmarin.
TURUN PADANG: Gira (lapan kanan) semasa melawat tapak cadangan projek kompleks sukan di Selangau kelmarin.

Katanya, usaha tersebut merupakan langkah Kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai golongan muda dan belia dari kawasan luar bandar cemerlang dalam bidang sukan.

“Ini merupakan langkah kerajaan GPS untuk terus membangunkan kawasan DUN Tamin.

“Bagi meneruskan kesinambungan ini, kita berharap penduduk di kawasan terbabit akan terus memberi sokongan padu terhadap pentadbiran dan kepimpinan kerajaan GPS,” ujarnya.

Kompleks itu bakal mempunyai kemudahan seperti sebuah padang bola sepak, trek larian, kemudahan untuk acara lompat tinggi, lompat jauh, dewan, tempat letak kenderaan serta kemudahan dan keperluan sukan.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami, wakil Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Residen Sibu, konsultan dan kontraktor.

  • oleh
  • Advertisement