Anda di sini

Keriangan Barca duka buat Espanyol

Advertisement
 Antara babak aksi perlawanan La Liga Sepanyol di antara Barcelona dan Espanyol di Stadium Camp Nou. — Gambar AFP
RANCAK: Antara babak aksi perlawanan La Liga Sepanyol di antara Barcelona dan Espanyol di Stadium Camp Nou. — Gambar AFP

MADRID, Sepanyol: Barcelona mengekalkan harapan kejuaraan La Liga Sepanyol dan menyingkirkan Espanyol dari liga pada Rabu selepas gol Luis Suarez memastikan kemenangan pada Rabu.

Aksi hambar di Nou Camp mula ‘meledak’ pada enam minit selepas rehat apabila Ansu Fati dan Pol Lozano dibuang padang, menyebabkan kedua-dua pasukan bermain dengan 10 pemain sebelum Suarez menjaringkan gol.

Suarez mendapat bantuan dari satu lagi umpanan cantik Antoine Griezmann, dengan tolakan licik kepada Lionel Messi untuk melakukan rembatan tetapi bola terkena palang dan gol muntah disempurnakan Suarez.

Kemenangan 1-0 itu adalah jauh dari aksi cemerlang ketika membelasah Villarreal 4-1 minggu lepas tetapi ia sudah memadai untuk membolehkan Barca merapatkan kedudukan dengan kurang satu mata di belakang pendahulu liga, Real Madrid, yang bermain menentang Alaves hari ini.

Espanyol, yang berada di tangga terbawah liga sebelum perlawanan, sah disingkirkan ke divisyen dua. Mereka kurang 11 mata dari zon selamat dengan baki tiga perlawanan musim ini.

“Hidup atau mati” tulis tajuk utama akhbar Mundo Deportivo pada pagi Khamis – untuk Barcelona, yang perlu menang untuk terus bersaing dengan Madrid, dan juga untuk Espanyol, kerana kemenangan mungkin memberikan harapan tipis untuk mengelak penyingkiran.

Gandingan Griezmann dengan Suarez dan Messi, selepas beraksi cemerlang ketika menentang Villarreal,  dikekalkan dengan Espanyol tidak bernasib baik untuk membuka jaringan apabila satu cubaan mereka terkena palang.

Dengan Real Madrid memiliki rekod pertemuan lebih baik berbanding Barca dan mempunyai baki empat perlawanan menentang lawan dari kelompok pertengahan liga, Real Madrid tetap menjadi pilihan untuk muncul juara liga pada akhir musim.

“Kami harus memenangi tiga baki perlawanan kami,” kata Suarez.

“Apa yang Real Madrid lakukan adalah bergantung kepada mereka. Jika mereka tercicir mata, sudah tentu menarik tetapi kami harus bersedia untuk mengambil peluang jika ia berlaku.”

Espanyol memerlukan kemenangan tetapi mereka belum pernah menewaskan Barca dalam liga sejak 2009 apabila Mauricio Pochettino membimbing kelab dan Rufete, jurulatih keempat kelab musim ini, mendapat simpati dari Messi pada akhir perlawanan.

Penyokong kelab pada minggu ini menyuarakan kemarahan mereka selepas “satu musim memalukan” di bawah pimpinan Kumpulan Rastar dari China, yang membeli saham majoriti kelab pada 2016.

Hanya Barcelona, Real Madrid dan Athletic Bilbao menghabiskan musim lebih banyak dalam La Liga berbanding Espanyol, yang selepas 26 musim berturut-turut telah berakhir.

“Kami meminta maaf kepada penyokong,” kata Javi Lopez.

“Kami tahu ia adalah saat sukar bagi kami dan juga penyokong. Tiada apa yang betul pada musim ini. Ia adalah kesalahan kami dan kami berazam untuk kembali dengan lebih kuat.”

Pada perlawanan lain, Villarreal menewaskan Getafe 3-1 untuk merapatkan kedudukan di belakang Sevilla yang berada di tangga keempat dengan tiga mata.

Santi Cazorla menjaringkan dua tendangan penalti untuk Villarreal, sekali gus menamatkan impian Getafe untuk memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Sevilla boleh mengukuhkan kedudukan di tangga keempat liga yang juga slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara dengan kemenangan ke atas Athletic Bilbao pada perlawanan lewat. — AFP

Advertisement