Anda di sini

JPBBM tubuh dua jawatankuasa kekang penularan COVID-19

Advertisement
 Lee (dua kanan) mempengerusikan mesyuarat JPBBM bagi mengekang penularan COVID-19 di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Miri, petang kelmarin.
BINCANG: Lee (dua kanan) mempengerusikan mesyuarat JPBBM bagi mengekang penularan COVID-19 di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Miri, petang kelmarin.

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi menangani risiko penularan COVID-19 dalam kalangan warga tempatan dan pekerja asing.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap menteri bertanggungjawab terhadap JPBBM Datuk Lee Kim Shin berkata, ia membabitkan penubuhan Jawatankuasa Kepolisan Masyarakat Bahagian Miri dan Jawatankuasa Pengambilan Sampel Secara Rawak Bagi Pekerja Tapak Binaan.

“Berkuat kuasa 15 Julai 2020, Jawatankuasa Kepolisan akan dilaksanakan di seluruh Sarawak yang melibatkan komuniti setempat dengan kerjasama agensi kerajaan dan NGO,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat JPBBM di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Miri, Aras 9, Kompleks Islam Sarawak di sini, kelmarin.

Lee berkata, ia ditubuhkan bagi memantau dan mengawal aktiviti di kampung atau kawasan masing-masing dan mewujudkan kerjasama di antara masyarakat dengan agensi kerajaan.

“Jawatankuasa ini akan dapat melatih masyarakat untuk lebih bertanggungjawab, prihatin dan memupuk semangat kesukarelaan dalam diri mereka bersesuaian dengan ‘hashtag’ rasmi kerajaan negeri iaitu #kitajagakita,” jelasnya.

Bagi memperkasa Jawatankuasa Kepolisan, satu bengkel akan diadakan bagi memantapkan persediaan serta mewujudkan bilik operasi bagi menjalankan aktiviti rondaan di kawasan masing-masing.

“Tumpuan rondaan ini nanti akan memfokuskan kawasan berisiko seperti kawasan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, kawasan kerap kemalangan, kawasan aktiviti lepak dan kawasan kerap kecurian.

“Di samping itu kawasan merempit, kawasan aktiviti minum minuman keras, kawasan perjudian, kawasan yang berpotensi untuk dijadikan jalan tikus, kawasan berisiko rabies serta kawasan berisiko pendatang asing tanpa izin (PATI),” tegasnya.

Mengulas mengenai Jawatankuasa Pengambilan Sampel Secara Rawak Bagi Pekerja-Pekerja Tapak Binaan di Bahagian Miri, ia yang diketuai oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Miri.

Tindakan ini adalah sejajar dengan arahan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Terdapat sejumlah 12,648 pekerja di tapak binaan di Miri dengan masing-masing 1,018 pekerja asing dan 11,630 pekerja tempatan.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan melakukan sebanyak lima peratus pensampelan secara rawak iaitu membabitkan pengambilan 650 sampel pekerja tapak binaan di Miri yang akan dilakukan pada Sabtu dan Ahad,” jelasnya.

Tambah Lee, jawatankuasa ini melalui bantuan CIDB Miri akan bekerjasama dengan majikan yang berkenaan bagi mendapatkan sampel ujian COVID-19 bagi pekerja-pekerja asing dan tempatan.

Turut hadir mesyuarat tersebut ialah Residen Bahagian Miri Mastapa Julaihi.

  • oleh
  • Advertisement