Anda di sini

Gelaran juara tidak cukup, Liverpool sasar lepasi 100 mata

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Brighton dan Liverpool di Stadium American Express Community di Brighton. — Gambar AFP
AKSI RANCAK: Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Brighton dan Liverpool di Stadium American Express Community di Brighton. — Gambar AFP

LONDON, England: Mohamed Salah mengekalkan Liverpool di landasan memburu rekod mata Liga Perdana Inggeris selepas juara baharu liga itu menewaskan Brighton 3-1 sementara Manchester City mengembalikan prestasi mereka dengan membelasah Newcastle United 5-0 pada Rabu.

Liverpool mengintai peluang mengatasi rekod 100 mata yang dicipta Manchester City pada 2018 ketika muncul juara dan mereka kekal berada di landasan selepas meraih kemenangan pertama di tempat lawan sejak bulan Februari.

Liverpool mengumpul 92 mata setakat ini dan memerlukan sembilan lagi mata dari baki empat perlawanan – menentang Burnley, Arsenal, Chelsea dan Newcastle untuk memperbaharui rekod mata.

Ditanya tentang memburu rekod, pengurus Liverpool, Jurgen  Klopp berkata: “Ia tidak penting bagi saya. Saya tidak berminat dengan apa-apa perkara seperti ini tetapi saya mahu memenangi perlawanan.

“Bagi mereka dalam bidang sukan secara amnya, ia mungkin penting. Kami adalah  juara liga dan ia mungkin bonus tetapi ia sebenarnya tidak. Pemain akan melakukan apa yang mereka mampu.”

Liverpool sudah meraih 30 kemenangan dalam satu musim dengan lebih pantas berbanding mana-mana kelab dalam sejarah bola sepak Inggeris dan Klopp menambah: “Kami sekarang mengumpul 92 mata dan musim lepas kami memperolehi 97 mata!

“Ia luar biasa, saya tidak tahu bagaimana kami melakukannya.”

Salah menghukum kealpaan pertahanan Brighton seawal minit keenam untuk menjaringkan gol ke-22 beliau musim ini dan gol pertama di tempat lawan buat Liverpool sejak bulan Februari.

Jordan Henderson menambah jaringan dengan satu penyudah cantik dari hujung kotak penalti tiga minit kemudian.

Leandro Trossard merapatkan kedudukan pada minit akhir sebelum rehat tetapi Salah melengkapkan jaringan pada minit ke-76 dari satu tandukan Andrew Robertson untuk memastikan lima perlawanan tanpa menang di gelanggang lawan berakhir.

City, di tangga kedua, tewas buat kali kesembilan dalam liga musim ini di Southampton Ahad lepas tetapi anak buah Pep Guardiola sudah menang semua empat perlawanan di Stadium Etihad sejak musim disambung semula dengan koleksi 17 gol tanpa bolos selepas membelasah Newcastle 5-0.

Gabriel Jesus adalah antara pemain yang terlepas peluang menjaringkan gol di Southampton tetapi beliau hanya memerlukan 10 minit untuk membuka jaringan pada Rabu apabila menyempurnakan hantaran lintang David Silva.

Kevin De Bruyne mengumpan bola kepada Riyad Mahrez untuk gol kedua sebelum Federico Fernandez tertolak bola ke pintu golnya sendiri untuk memberikan gol ketiga City.

Penampilan Silva di Etihad semakin sampai ke penghujung, dengan pemain dari Sepanyol itu akan  menamatkan 10 tahun beliau di Manchester City apabila musim ini berakhir pada bulan Ogos.

Beliau akan meninggalkan warisan yang hebat di kelab apabila menjaringkan gol keempat dengan satu tendangan percuma cantik sebelum mengumpan bola kepada Raheem Sterling pada minit kecederaan untuk melengkapkan jaringan.

“Prestasi beliau hari ini dan pada perlawanan terakhir beliau (di Etihad), tahap permainan beliau adalah yang terbaik musim ini,” kata Guardiola ketika bercakap tentang Silva.

Pada perlawanan lain, harapan Wolves memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara tersentak sekali lagi apabila tewas 0-1 di Sheffield United.

Skuad kendalian Nuno Espirito Santo tewas perlawanan kedua berturut-turut dari gol John Egan pada minit kecederaan.

Kemenangan melonjak Sheffield ke  tangga ketujuh, kurang satu mata di belakang Wolves, yang kekal di tangga ketujuh liga, kurang empat mata dari empat tangga teratas liga.

Di kelompok bawahan liga, West Ham gagal menjarakkan lagi kedudukan dari zon penyingkiran apabila tewas 0-1 kepada Burnley di tempat sendiri.

Kekalahan menyebabkan West Ham kekal empat mata dari zon penyingkiran tetapi Aston Villa, Bournemouth, masing-masing menentang Manchester United dan Tottenham pada perlawanan lewat, boleh merapatkan kedudukan. — AFP

Advertisement